jump to navigation

Usaha Meramaikan Doktor Gigi Di Sektor Awam 12 June 2010

Posted by admin in kerjaya.
trackback

KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) — Fraterniti pergigian perlu menentukan hala tuju dan masa depan sistem pergigian bagi melahirkan lebih ramai doktor pergigian di negara ini, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata ini bagi mencapai sasaran kerajaan untuk mengadakan nisbah 1:4,000 antara doktor gigi dan penduduk dalam tempoh tujuh tahun akan datang berbanding nisbah 1:7,936 sekarang.

“Kini terdapat 3,567 pengamal pergigian berdaftar di negara ini. Namun sebahagian besar penduduk dewasa di negara ini belum mendapat rawatan pergigian awam yang mencukupi,” katanya pada majlis “Dental Glee Night” sempena Konvensyen Pergigian Sedunia ke-67, di sini.

Liow berkata langkah mewajibkan graduan pergigian berkhidmat selama tiga tahun dengan kerajaan pada 2005, telah menambah jumlah doktor gigi di sektor awam kepada 51.5 peratus daripada kurang dari 45 peratus.

Menerusi penubuhan sekolah pergigian ke-12 yang bakal diluluskan oleh kementeriannya, jumlah graduan pergigian dijangka bertambah sekitar 665 orang setahun menjelang 2017 berbanding kira-kira 200 orang pada tahun lalu, katanya.

Beliau berkata sehubungan itu, kementerian akan berusaha untuk memenuhi keperluan pakar dan pengajar pergigian yang berkelayakan dan berpengalaman.

Sumber:  BERNAMA

%d bloggers like this: