jump to navigation

Selam skuba jana pendapatan 12 June 2010

Posted by admin in kerjaya.
trackback

JIKA dilakukan dengan betul, mereka yang berumur 18 tahun sudah boleh menjadi jurulatih selam skuba dengan menjana pendapatan tinggi.


RAMAI menganggap aktiviti selam skuba mahal dan sukar untuk disertai. Bagi mereka yang tak tahu berenang, ia dikatakan halangan utama untuk menyertai riadah unik yang sudah ada di dunia sejak pengenalan skuba moden oleh Jacques Cousteau dan Emile Gagnan pada tahun 1943.

Ketika ini secara purata, seorang peminat selam skuba semuda 10 tahun akan membayar antara RM1,450 hingga RM1,750 seorang (untuk Persatuan Jurulatih Selam Skuba Profesional Antarabangsa – PADI) bagi menyertai pakej kursus asas peringkat pertama.

Pakej kursus lanjutan, RM800 hingga RM900 perlu dibayar sehinggalah mereka memasuki peringkat profesional sebagai jurulatih. Kursus untuk peringkat itu memerlukan mereka mengeluarkan yuran antara RM7,000 hingga RM10,000.

Namun tidak semua yang tahu, sebaik sahaja mereka menjejaki peringkat paling minimum, penolong jurulatih atau ketua selam skuba (divemaster), mereka sebenarnya sudah mampu menjana kewangan tetap.

Malah, jika dilakukan secara betul dan kerap, pendapatan yang dapat dijana mampu mengalahkan gaji seorang pengurus syarikat yang sudah berkhidmat selama 10 tahun.

Semua itu mampu diterjemahkan lebih pantas iaitu dalam tempoh setahun saja jika peminat aktiviti ini meneruskan kursus selam skuba secara berperingkat-peringkat sehingga ke tahap profesional tanpa gagal.

Apa yang perlu ialah, peserta memperbanyakkan selaman dalam membina pengalaman untuk meneruskan peringkat demi peringkat kursus yang disertainya.

Selepas diiktiraf sebagai penyelam skuba asas, peminat aktiviti ini boleh meneruskan kursus ke peringkat lanjutan sebaik sahaja mereka mendapat ‘lesen’ penyelam laut asas.

Malah, ada jurulatih yang merangkumkan kursus selam skuba asas dan lanjutan yang membolehkan peserta layak memperoleh kedua-dua lesen dalam tempoh lima hari empat malam.

Selepas itu, mereka boleh meneruskan untuk menyertai kursus selam skuba penyelamat.

Habis kursus itu, mereka boleh menyertai sama ada kursus penolong jurulatih atau divemaster dengan hanya mempunyai 60 selaman, tetapi perlulah berumur 18 tahun ke atas.

Selepas itu, anda boleh membuat persediaan untuk menyertai kursus jurulatih laut terbuka.

Bayangkan jika remaja yang berumur 18 tahun dan tidak tahu untuk melakukan apa-apa ekoran tidak mahu menyambung pelajaran, mereka sudah boleh menjana pendapatan sebagai seorang jurulatih atau ketua selam skuba sama ada secara tetap atau sambilan.

Bagi yang khuatir tidak tahu berenang, kursus selam skuba asas sebenarnya tidak menetapkan mereka perlu tahu berenang. Memadai jika mereka selesa di permukaan air dan mampu mengapungkan diri. Namun untuk meneruskan ke peringkat yang lebih tinggi, adalah dinasihatkan mempelajari asas berenang untuk tujuan kerja kursus.

Jadi jika semua ini boleh dilepasi, apa yang menjadi halangan?

Sudah pasti yuran yang agak tinggi antara halangan dan membuatkan mereka berfikir dua kali walaupun dijanjikan akan menjana pendapatan tetap selepas berjaya ke peringkat profesional.

Untuk itu, Pusat Selam Skuba 5 Bintang PADI, Sea Monkey Dive & Travel (Sea Monkey) kini masih dalam perbincangan dengan beberapa badan kewangan untuk mencari penyelesaian memberi kemudahan agar mereka yang berminat boleh menyertai kerjaya sebagai seorang penyelam skuba profesional.

Antara yang sedang diperbincangkan ialah pinjaman kewangan penuh dengan bayaran secara ansuran bulanan kepada mereka yang layak untuk menyertai kursus membina kerjaya sebagai penyelam skuba profesional.

Lebih menarik, penyelesai masalah ini merangkumi kerjasama antara Sea Monkey sebagai Pusat Pengembangan Jurulatih (IDC) PADI, badan kewangan dan juga PADI melalui kursus GoPro mereka.

Selepas termaktub kerjasama itu nanti, mereka yang berminat untuk menjadikan selam skuba sebagai satu kerjaya profesional boleh menyertai pakej istimewa GoPro PADI Sea Monkey.

Lawat laman web www.idc-kul.com.my atau hubungi 03-78859658 dan e-mel dive@seamonkey.com.my untuk keterangan lanjut.

Sumber: Utusan Malaysia

%d bloggers like this: