jump to navigation

Sasar 18,000 Pemegang PhD Bagi Staf Akademik Universiti 11 June 2010

Posted by admin in Akademik, kerjaya.
trackback

KUALA LUMPUR, 10 Jun (Bernama) — Jumlah staf akademik universiti berkelulusan PhD disasarkan meningkat kepada 18,000 menjelang 2015 di bawah Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10) yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Parlimen pada Khamis.

Untuk mencapai sasaran itu, belaiu berkata pelaksanaan program MyBrain15, program pembiayaan pengajian di peringkat ijazah kedoktoran, akan dipergiatkan.

“Peningkatan staf akademik itu ialah 75 peratus bagi universiti penyelidikan dan 60 peratus bagi universiti awam,” katanya.

Di samping itu, pakej penggajian akan dikaji semula untuk menarik minat pensyarah asing dan staf akademik yang telah bersara, tambanhnya.

Najib juga mengumumkan satu lagi institusi, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah diiktiraf sebagai universiti penyelidikan memandangkan hubungan yang signifikan di antara pertumbuhan ekonomi dan kegiatan penyelidikan, pembangunan dan pengkormesialan.

Empat yang lain yang sudah diiktiraf ialah Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Sains Malaysia (USM).

Perdana Menteri berkata bagi menggembleng potensi intelektual dan kepakaran yang sedia ada di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) pula, kerajaan telah menubuhkan Majlis Profesor Negara baru-baru ini.

“Kepakaran seramai 1,400 profesor di IPTA seluruh negara akan dapat dimanfaatkan melalui prakarsa itu,” katanya.

Dalam usaha memastikan tenaga pengajar dan penyelidik di IPTA adalah yang terbaik dan bermotivasi satu kategori baru iaitu profesor kanan diwujudkan di bawah tangga gaji Gred Turus.

“Pelantikan ke peringkat itu hanya akan dihadkan mengikut kelayakan dan keupayaan individu terbabit tanpa ada sekatan angka siling tertentu,” katanya.

Najib berkata kerajaan juga memutuskan untuk memperkasa gelaran Profesor Di Raja sedia ada dengan pakej elaun dan gaji yang lebih setimpal dengan wibawa pemegang gelaran itu.

Bagaimanapun katanya, buat masa ini kerajaan tidak bercadang untuk menambah jumlah Profesor DiRaja sedia ada sebagaimana yang diperuntukkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 bagi setiap IPTA.

Sumber:  BERNAMA

%d bloggers like this: