jump to navigation

Pendidikan Teknikal Dan Latihan Vokasional Diarusperdanakan 11 June 2010

Posted by admin in Akademik.
trackback

KUALA LUMPUR, 10 Jun (Bernama) — Kerajaan akan mempertingkatkan kemudahan pendidikan teknikal dan latihan vokasional dalam usaha mengarusperdanakan bidang ini dan membolehkan lebih ramai pelajar menceburinya di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10).

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan RMK10 di Dewan Rakyat pada Khamis berkata negara perlu meningkatkan komposisi pekerja berkemahiran tinggi kepada sekurang-kurangnya 37 peratus menjelang tahun 2015.

Katanya, kini hanya 23 peratus daripada tenaga kerja negara ini merupakan tenaga kerja berkemahiran tinggi, iaitu jauh lebih rendah berbanding dengan negara-negara maju lain.

Di negara maju, katanya, pendidikan teknikal dan latihan vokasional menjadi antara pilihan utama pelajar kerana ia mempunyai prospek kerja yang baik tetapi ia dilihat sebagai pilihan terakhir pelajar di negara ini.

“Andaian negatif ini harus disangkal. Pendidikan teknikal dan latihan vokasional sebenarnya menyediakan landasan alternatif yang baik bagi para pelajar merealisasikan potensi mereka,” kata beliau.

Dalam hal ini, Najib berkata Jabatan Pembangunan Kemahiran akan menjadi agensi tunggal dalam pembangunan dan pengesahan kualiti kurikulum pendidikan teknikal dan latihan vokasional.

Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) akan dijadikan persijilan kebangsaan yang diiktiraf bagi kemasukan dalam perkhidmatan awam dan institusi pengajian tinggi, katanya.

Beliau berkata penglibatan sektor swasta untuk melatih pekerja berkemahiran tinggi juga akan digalakkan melalui langkah berikut:

* memperluas liputan geran sempadan Tabung Pembangunan Sumber Manusia serta Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana.

* sejumlah RM500 juta akan disediakan di bawah Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran sebagai pinjaman kepada pekerja bagi mengikuti latihan meningkatkan kemahiran. Dianggar 38,000 pekerja akan dimanfaatkan melalui langkah ini.

* kerajaan dan majikan akan menubuhkan tabung pembiayaan bersama untuk membiayai pekerja melanjutkan pengajian di peringkat PhD dalam bidang berkaitan.

* memperluas Program Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) yang melibatkan kandungan latihan sebanyak 70 peratus secara langsung di tempat kerja dan 30 peratus latihan teori di institusi lain.

* mempergiat pelaksanaan pengiktiraf pencapaian terdahulu, iaitu Sijil Kemahiran Malaysia kepada 60,000 pekerja setahun.

* mengalakkan sektor swasta dalam menyediakan latihan kemahiran dan vokasional menerusi kaedah PPP.

Sumber:  BERNAMA

%d bloggers like this: