jump to navigation

Aswara Sedia 'Imej' Baru Melalui Animasi 11 June 2010

Posted by admin in Akademik, Kokurikulum.
trackback

Oleh Rohana Mustaffa

Bahagian pertama daripada rencana dua siri mengenai Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

KUALA LUMPUR, 11 Jun (Bernama) — Malam itu, suasana Panggung Eksperimen di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) agak luar biasa, kerana selain dipenuhi penonton, ada tetamu istimewa mengisi barisan depan tempat duduk.

Sebelum itu, pada sebelah paginya Rektor Aswara Datuk Dr Mohamed Najib Ahmad Dawa memberi pesanan kepada sekumpulan pelajar tahun akhir Aswara supaya tidak mengambil berat sangat mengenai kehadiran tetamu istimewa malam itu bagi menyaksikan persembahan teater “Mulan & Mushu”.

“Buat yang terbaik macam kamu berlatih dan lakukan selama ini,” pesan beliau.

Teater “Mulan & Mushu” dipersembah oleh sekumpulan pelajar tahun akhir Fakulti Teater Aswara yang membuka tirai persembahan untuk Penilaian Tahun Akhir (PeTA) pelajar peringkat diploma 2010.

PeTA dipersembah dalam bentuk Festival Seni Aswara bermula 31 Mei hingga 11 Jun untuk menonjolkan kemampuan dan keistimewaan pelajar Aswara sebagai penuntut seni profesional dalam melahirkan karya seni merangkumi teater, penulisan, tarian, muzik, filem dan video.

KARYAWAN MUDA

Dr Mohamed Najib berkata PeTa ’10 yang melibatkan 118 pelajar, merupakan landasan kepada pelajar Aswara untuk memaparkan karya seni mereka melalui kaca mata karyawan muda.

Malam itu persembahan “Mulan & Mushu” ialah untuk menilai kepakaran Sinografi Siti Aisyah Hassan Hasri, lakonan Farah Nadia Zainal Abidin (Mulan) dan Najua Nadia Nasir (Mushu) serta pengarahan Ow Yeong Soon Ling.

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali hadir untuk menyaksikan anak mereka Mazhar, melakonkan watak antagonis Shan-Yu dalam persembahan itu.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim serta beberapa ketua pengarah dan pegawai kanan agensi di bawah kementerian turut hadir kerana festival yang bermula dengan persembahan teater “Mulan & Mushu” itu juga diadakan sempena sambutan Hari Seniman.

Aswara, yang dahulunya dikenali sebagai Akademi Seni Kebangsaan (ASK), merupakan satu-satunya universiti seni di Malaysia. Ia merupakan agensi di bawah Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan.

Ia menawarkan program ijazah dan diploma selama tiga tahun dan mempunyai enam fakulti – Teater, Tarian, Seni Halus, Filem & Video, Muzik dan Penulisan di kampusnya di Jalan Tun Ismail di sini.

ANIMASI

Melihatkan persediaan dari segi koreografi, pengurusan pentas, pengarahan muzik, penataan cahaya dan multimedia, ternyata para pelajar itu cukup diisi dengan ilmu bagi menghasilkan sesuatu yang bertaraf profesional bagi memenuhi tuntutan pasaran.

Bagaimanapun ia boleh ditambah baik dengan satu lagi unsur persembahan – animasi. Dan Dr Mohamed Najib mempunyai visi untuk menambah kelebihan dari sudut itu di dalam semua karya pelajar Aswara, sama ada di dalam bidang teater, tarian, filem dan video.

Diploma animasi ialah program terdekat Aswara yang akan ditawarkan di bawah sebuah fakulti baru tahun depan, 2011.

Fakulti Animasi akan menepati perkembangan industri kreatif negara, kata Rektor Aswara itu, yang yakin bidang seni kreatif akan menjadi industri induk di Malaysia dalam menggantikan industri pembuatan kepada industri perkhidmatan.

Dr Mohamed Najib yang baru awal Januari lalu memikul tanggungjawab sebagai Rektor Aswara mahu merealisasikan apa yang diluluskan Kabinet pada 2007 iaitu sebuah pusat animasi diwujudkan.

AGENDA BARU

“Ini peluang saya untuk memperkenal agenda baru, menjadikan kursus animasi sebagai program induk yang akan memberi perkhidmatan kepada semua fakulti, sama ada bidang tarian, muzik dan sebagainya sebab dalam seni persembahan contohnya budaya MTV kini, banyak menggabungkan kesan khas dan animasi 2D atau 3D,” katanya kepada Bernama.

Dari segi tarian, seorang pelajar boleh pergi ke satu tahap menggabungkan tarian dengan kesan khas atau koreografi tariannya dalam bentuk animasi dan menggunakan kecanggihan teknologi komputer.

“Dalam menentukan model yang perlu dicontohi, saya mengajak mereka (pelajar) melihat ke Timur. Contohnya pelancaran dan majlis penutup Sukan Olimpik di Beijing, China. Bagaimana mereka menggunakan teknik kesan khas, pencahayaan , seni pementasannya, koreografi tariannya dan sebagainya sehingga mengkagumkan dunia,” jelas beliau.

Lantaran itu beliau tanpa berlengah, sudah mengadakan pertemuan dengan pereka pencahayaan acara perasmian Olimpik Beijing 2008 untuk pendedahan ilmu kepada pelajar Aswara.

PENDIDIKAN DAN LATIHAN

Buat permulaan, katanya, 30 pelajar akan dipilih untuk melanjutkan pelajaran dalam program animasi ini. Aswara yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan, diberi peruntukan RM14.7 juta bagi membangunkan pendidikan dan latihan animasi ini.

“Jika kerajaan memandang serius mengenai pembangunan bidang animasi, maka Aswara pula bertanggungjawab melaksanakan misi ini dengan menjadi pusat latihan animasi Malaysia yang berperanan menyediakan tenaga pengajar berkelayakan, kemudahan infrastruktur serta sukatan pelajaran dan modul animasi yang setaraf global.

“Bagi tenaga pengajar, kami tidak akan mengambil pengajar dari luar negara kerana ada sebilangan tenaga pengajar tempatan pernah mengikuti program itu di luar negara dan Aswara akan memanggil penggiat serta pihak yang terlibat dengan bidang animasi ini untuk melihat produk animasi yang dihasilkan oleh Aswara agar memenuhi kehendak industri dan masyarakat,” katanya.

Sebelum memulakan program peringkat diploma ini pun Aswara sudah menawarkan kursus pendek animasi peringkat sijil kepada lepasan pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai persediaaan menyambut keputusan Kabinet itu.

Sumber:  BERNAMA

%d bloggers like this: