jump to navigation

Program Mengajar Untuk Malaysia Bagi Menarik Siswazah Cemerlang Mengajar Di Luar Bandar 10 June 2010

Posted by admin in kerjaya.
trackback

KUALA LUMPUR, 10 Jun (Bernama) — Kerajaan akan melancarkan program ‘Mengajar untuk Malaysia’ yang berprofil tinggi bagi menarik pelajar cemerlang dan terbaik untuk mengajar selama dua tahun di sekolah berprestasi rendah atau di luar bandar.

Menurut Rancangan Malaysia ke-10 (RMK10) yang dibentangkan di Parlimen pada Khamis, langkah itu bertujuan menambah bilangan guru siswazah dari 89.4 peratus pada 2009 kepada 90 peratus menjelang 2015 di sekolah menengah dan dari 28 peratus pada 2009 kepada 60 peratus menjelang 2015 bagi sekolah rendah.

Di bawah program ini, siswazah cemerlang di bawah biasiswa korporat akan digalakkan mengambil bahagian sebelum kembali bekerja dengan majikan mereka.

Mereka akan menyertai program latihan ‘fast-track’ di mana mereka akan diberikan latihan intensif tentang kaedah mengajar terbaru.

Bagi menentukan kualiti minimum yang lebih tinggi, jaminan pelantikan bagi guru-guru pelatih di Institusi Pendidikan Guru (IPG) dan universiti awam akan dihapuskan.

Pada masa ini guru-guru pelatih dijamin pelantikan di sekolah tidak kira prestsi mereka.

Kini terdapat 175,000 pemohon menjadi guru setiap tahun, menaikkan jumlah kepada 20,000 guru baru yang ditempatkan di sekolah.

Namun, tidak ramai pemohon mempunyai bakat dan sikap yang sesuai menjadi guru.

Langkah-langkah menambahbaik latihan guru:

– Kursus perguruan lepasan siswazah akan dilanjutkan dari setahun kepada setahun setengah.

– Jabatan Pelajaran Negeri akan menyelaras program praktikum.

– Guru-guru berpengalaman akan diberikan kursus pembimbing untuk meningkatkan kebolehan membimbing mereka.

– Kualiti latihan praktikum yang disediakan akan menjadi sebahagian daripada penilaian prestasi sekolah dan guru pembimbing.

Sumber:  BERNAMA

%d bloggers like this: