jump to navigation

Tabiat Membaca Rakyat Malaysia Masih Kurang Berbanding Negara Maju 5 June 2010

Posted by admin in Uncategorized.
trackback

KUALA LUMPUR, 4 Jun (Bernama) — Berdasarkan kepada tabiat membaca kalangan pelajar dalam negara, masyarakat Malaysia masih jauh ketinggalan di belakang jika dilihat dari segi minat membaca buku berbanding masyarakat di negara-negara maju seperti Jepun, kata Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Dr Wee Ka Siong.

Beliau berkata laporan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu menyatakan bahawa kadar celik huruf rakyat Malaysia adalah 93.2 peratus, namun angka itu masih tidak memadai jika dibandingkan dengan negara-negara seperti Jepun, Britain, Amerika, Australia dan Jerman yang memiliki kadar celik huruf 99 peratus.

“Walaupun Malaysia antara negara yang memiliki kadar celik huruf yang tinggi di rantau Asia Tenggara, kebanyakan rakyat Malaysia memilih untuk membaca bahan-bahan yang ringan seperti suratkhabar dan majalah.

“Apabila bercakap mengenai negara maju, rakyatnya banyak membaca bahan-bahan yang lebih berkualiti dan ilmiah,” katanya pada persidangan media selepas merasmikan kempen Read Malaysia 2010, di sini pada Jumaat.

Turut hadir ialah Pengarah Urusan Kumpulan Country Heights Holdings Bhd, Mark Rozario dan pengacara televisyen popular, Aznil Nawawi yang juga merupakan duta Read Malaysia 2010.

Wee berkata oleh kerana dunia berubah dengan pantas, rakyat Malaysia seharusnya membaca bahan-bahan yang lebih berkualiti bagi meningkatkan pengetahuan, supaya tidak ketinggalan di belakang arus perubahan semasa.

“Jadi biarlah dari segi kualiti buku yang dibaca itu lebih menimba ilmu, sebagai contoh negara Jepun, rakyatnya membaca buku-buku untuk meningkatkan kualiti diri mereka, tentang pentadbiran, atau dari segi bagaimana untuk mencari lebih banyak wang, dan sebagainya,” katanya.

Terdahulu dalam ucapan perasmiannya pada majlis itu Wee berkata usaha mewujudkan masyarakat yang berilmu tidak hanya berkisar kepada pendidikan rasmi, sebaliknya ia juga melibatkan usaha menyemai tabiat suka membaca yang menjadi antara nilai utama sebuah masyarakat berilmu.

Kempen Read Malaysia 2010 yang bermula hari ini diadakan di Pusat Konvensyen Pameran Antarabangsa Malaysia (MIECC), menampilkan pameran dan jualan banyak buku-buku pelbagai bahasa, tempatan dan luar negara.

Acara 10 hari yang membabitkan lebih 200 penerbit buku tempatan dan antarabangsa seperti MPH Publishing, Sasbadi, Hamlyn, Fajar Pakeer, John Wiley dan Marshal Cavendish itu dijangka menarik kunjungan kira-kira 400,000 pelawat.

Sumber:  BERNAMA

%d bloggers like this: