jump to navigation

Institut Teknologi Maritim Belanda Bakal Ditubuhkan Di Iskandar Malaysia 4 June 2010

Posted by admin in Akademik.
trackback

KUALA LUMPUR, 4 Jun (Bernama) — Education@Iskandar Sdn Bhd (EISB), sebahagian daripada Iskandar Investment Group, akan menjadi rakan kongsi kepada institut maritim terkemuka Belanda untuk menubuhkan Institut Teknologi Maritim Belanda (NMIT) di EduCity, di Iskandar Malaysia.

Syarikat itu memeterai perjanjian perkongsian pintar hari ini dengan Maritiem Instituut Willem Barentsz (MIWB), Maritiem Instituut de Ruyter (MIR) dan Maritime Intel Sdn Bhd (MISB), syarikat operasi NMIT.

Pengarah Urusan MISB, Kapten Razali Yaacob berkata NMIT, yang berhasrat untuk menjadi penyedia penyelesaian latihan dan pendidikan maritim serantau utama, akan menerima pengambilan pertamanya seramai 240 pelajar pada 2011.

Beliau berkata pendaftaran diunjur mencecah kira-kira 1,620 pelajar menjelang akhir 2015.

Institut itu akan menawarkan program diploma, ijazah dan sarjana dalam bidang pengangkutan, perkapalan, pelaut, maritim dan pengurusan logistik.

Kursus-kursus akan bermula di lokasi awal di Kotaraya, Johor Bahru, sebelum institut itu berpindah ke kampus kekalnya di Multi-Varsity Enterprise Building di EduCity pada 2012.

Pengerusi EISB, Arlida Ariff berkata Malaysia merupakan satu daripada 10 negara utama dalam industri perkapalan.

“NMIT akan memainkan peranan penting dalam mendidik profesional maritim yang dilatih dengan baik di Malaysia bagi memenuhi permintaan untuk pakar industri di seluruh dunia,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Maritiem Instituut de Ruyter Diederik August Verhagen berkata NMIT menyasar untuk meningkatkan standard antarabangsa maritim dan pendidikan logistik.

“Membangunkan Institut Teknologi Maritim Belanda di Iskandar Malaysia, yang mempunyai akses mudah ke tiga pelabuhan kontena utama di dunia di Malaysia dan Singapura, merupakan langkah strategik yang memberi kelebihan bukan sahaja kepada institusi tetapi juga kepada industri maritim rantau ini yang sedang pantas berkembang,” katanya.

Sumber:  BERNAMA

%d bloggers like this: