jump to navigation

UUM Tawar Ijazah Sarjana Sains Tekno-Keusahawanan 2 June 2010

Posted by admin in Akademik.
trackback

ALOR SETAR, 2 Jun (Bernama) — Universiti Utara Malaysia (UUM) membuka permohonan bagi program Ijazah Sarjana Sains Tekno-Keusahawanan yang bertujuan melahirkan teknousahawan bumiputera bertaraf dunia.

Penyelaras Program Dr Sahadah Abdullah berkata program usaha sama antara UUM dan Majlis Amanah Rakyat (Mara) itu dijalankan sejak Jun 2004 dan keistimewaan program ini ialah pinjaman pengajian serta elaun sara hidup akan disediakan oleh Mara.

Katanya sejak diwujudkan, Program Sarjana Sains Tekno-Keusahawanan telah berjaya melahirkan seramai 31 usahawan teknologi dan sehingga Disember 2009, seramai lima daripada mereka telah mencapai status jutawan.

“Aktiviti pembentukan usahawan akan dilaksanakan menerusi latihan, bengkel, interaksi aktif dalam kalangan peserta, pembelajaran bermodul, pemain peranan, pembelajaran berasaskan pasukan serta jalinan hubungan industri. Menerusi program ini aliran pengetahuan akan difokuskan kepada minat dan kemahiran para peserta,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Katanya selain itu empat pelajar telah ditawarkan geran bernilai RM40,000 setiap seorang daripada Sirim berdasarkan idea kreatif perniagaan yang telah dibentangkan.

Sahadah berkata setiap pelajar program ini yang mempunyai idea perniagaan yang kreatif dan perancangan perniagaan yang diyakini juga layak untuk memohon pinjaman perniagaan daripada Mara bernilai antara RM500,000 hingga RM2 juta.

Tarikh tutup permohonan program ini pada 20 Jun 2010. Sebarang maklumat lanjut sila hubungi Dr Sahadah Abdullah di talian 04-9284776/4796/4770 atau e-mel sahadah@uum.edu.my.

Sumber:  BERNAMA

%d bloggers like this: