jump to navigation

Amalan Membaca Rakyat Malaysia Sederhana Dengan 8-12 Buku Setahun 29 May 2010

Posted by admin in Uncategorized.
trackback

IPOH, 29 Mei (Bernama) — Amalan membaca di kalangan masyarakat negara ini masih berada di tahap sederhana dengan purata antara lapan hingga 12 buah buku setahun walaupun terdapat peningkatan daripada kajian sebelum ini.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Senator Heng Seai Kei berkata pihaknya masih tidak berpuas hati dengan pencapaian itu dan usaha berganda menerusi jalinan kerjasama dengan semua pihak termasuk sekolah, persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat korporat sedang dijalankan.

“Statistik adalah berdasarkan kadar purata membaca mengikut golongan umur, di mana kita dapati golongan di peringkat persekolahan mempunyai purata membaca 12 buku setahun. Bagaimanapun selepas tamat pengajian atau selepas berusia 21 tahun purata membaca jatuh kepada lapan buku setahun,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Mari Membaca 1Malaysia di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Yuk Choy di sini pada Sabtu.

Katanya kementerian sedang giat menjalankan kempen seperti Program Mari Membaca 1Malaysia, pemberian sumbangan buku oleh syarikat dan NGO, penglibatan syarikat pengangkutan mewujudkan sudut-sudut bacaan supaya semua usaha itu dapat membantu mencapai sasaran purata membaca di kalangan rakyat Malaysia adalah 15 buku setahun dalam tempoh tiga tahun ini.

Katanya sebagai sebuah negara dunia ketiga, purata membaca di negara ini masih sederhana jika dibanding dengan negara maju.

Heng berkata selain itu, kementerian berkenaan sedang berunding dengan pengusaha bas ekpress Sri Maju untuk mewujudkan Sudut Bacaan di dalam setiap unit bas dan terminalnya dalam usaha membudayakan amalan membaca di kalangan masyarakat.

Beliau berkata Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) bercadang memperluaskan lagi kempen ‘Program Membaca 1Malaysia: Jauh Perjalanan Luas Pengetahuan’ dengan menyediakan sudut bacaan di beberapa perhentian bas tidak lama lagi.

“Kementerian juga bercadang untuk memperluaskan kempen membudayakan amalan membaca di pusat beli-belah seperti Jaya Jusco yang telah mempunyai sudut bacaan supaya orang ramai boleh menggunakan masa terluang dengan sebaik-baiknya,” katanya.

Katanya sebelum ini KTMB dengan kerjasama kementerian berkenaan telah melancarkan Sudut Bacaan yang ditempatkan di dalam gerabak keretapinya yang bertujuan menyediakan bahan bacaan kepada penumpang selain Bank Buku di Stesen KL Sentral yang bertujuan mengutip bahan bacaan dari orang ramai untuk disumbangkan kepada KTMB.

Dalam program dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Negeri Perak, Persatuan Xiang Lian dan Pergerakan Pemuda Malaysia hari ini, beliau turut menyampaikan sumbangan buku kepada beberapa wakil pihak sekolah menengah di Perak yang terpilih sempena sambutan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia 2010.

Katanya sebanyak 157 buah sekolah menengah terpilih di Perak daripada 1,000 kesemuanya di seluruh negara akan menerima buku di bawah program yang dijayakan oleh kementerian melalui PNM dengan kerjasama 10 NGO Cina dan syarikat penerbitan Reader’s Digest (Malaysia) Sdn Bhd itu.

Sumber:  BERNAMA

%d bloggers like this: