jump to navigation

Transit pendidikan tinggi ke Eropah 27 May 2010

Posted by admin in Akademik.
trackback
Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
pengarang@utusan.com.my

HASRAT menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan di rantau ini bukan sekadar angan-angan. Lebih-lebih lagi, apabila peranan pengajian tinggi kini diangkat ke tahap teratas.

Keputusan sebuah jaringan pendidikan swasta terbesar dunia, Laureate International Universities untuk memindahkan pejabat operasinya di Asia dari Hong Kong ke Malaysia baru-baru ini, ternyata menunjukkan Malaysia semakin diyakini untuk muncul sebagai pusat pendidikan terkemuka.

Bermula dengan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang bertujuan memberikan lebih autonomi kepada ahli lembaga pengarah universiti untuk merencanakan agenda institusi, kini fokus kementerian tertumpu kepada peningkatan sumbangan penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dr. Hou Kok Chung ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat pada 14 April lalu berkata, kementerian merancang untuk menganugerahkan status universiti penyelidikan kepada dua lagi institusi yang memenuhi kriteria.

Namun begitu, projek penyelidikan universiti yang tidak berjaya dikomersialkan atau dipatenkan hanya akan membazirkan peruntukan kerajaan sekali gus menyaksikan ia gagal menepati sasaran kementerian dalam meningkatkan pendapatan sendiri sehingga 30 peratus.

Melihat trend globalisasi dan pengantarabangsaan universiti yang kini menjadi kayu pengukur kepada kemajuan sektor pengajian tinggi, universiti tempatan tidak boleh lagi berpeluk tubuh sebaliknya perlu menjalin lebih banyak kerjasama strategik bersama rakan luar negara.

Terbaru, kerjasama strategik antara Kementerian Pengajian Tinggi bersama Kesatuan Eropah (EU) menyaksikan peruntukan permulaan melibatkan Euro 575,000 (RM2.5 juta) untuk melaksanakan projek-projek MYEULINK bagi tempoh tiga tahun.

Projek baru MYEULINK bertujuan memberi kesedaran kepada kerajaan, sektor swasta, media dan masyarakat mengenai polisi yang dilaksanakan EU itu. Ia sekali gus diharapkan dapat meningkatkan kerjasama Malaysia-Eropah.

Sementara itu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, MYEULINK mampu meningkatkan profil Malaysia dalam kalangan negara EU apabila kepakaran kedua-dua pihak digandingkan sekali gus mewujudkan persefahaman dalam konteks polisi pendidikan tinggi.

Menurutnya, projek serampang dua mata itu juga dapat dimanfaatkan sepenuhnya menerusi pemindahan pengetahuan dan kepakaran melalui kursus-kursus latihan melibatkan sektor awam dan swasta.

“Matlamat jangka panjangnya adalah untuk menubuhkan sebuah pusat EU di Malaysia (MYEUCENTRE) yang akan mengenal pasti peluang-peluang penajaan penyelidikan di bawah rangka polisi EU serta program berkaitan,” katanya.

Dalam pada itu, koordinator MYEULINK, Prof. Sayed Azam Ali berkata, projek tersebut berupaya membangunkan kapasiti antara Malaysia dan EU untuk sama-sama terlibat dalam aktiviti pengajaran, penyelidikan dan perniagaan.

Beliau berkata, antara peluang kerjasama yang boleh dimanfaatkan termasuklah program pertukaran pelajar ‘Erasmus Mundus’ dan The Seventh Framework Programme (FP7) yang menjadi instrumen utama pembiayaan penyelidikan di Eropah.

Selain itu, katanya, aktiviti MYEULINK juga merangkumi penganjuran Pameran Pendidikan Tinggi EU-Malaysia pada 2011 bagi mempamerkan institusi pengajian negara dan Eropah yang terlibat dalam program pertukaran dan penyelidikan melibatkan mahasiswa dan staf antara universiti.

Tambah beliau, sebuah persidangan yang melibatkan pemain penting dalam industri juga akan diadakan sempena pameran tersebut bertemakan Penubuhan Hab Pengajian Tinggi Serantau: Peluang dan Cabaran.

Bagi merealisasikan MYEULINK, empat universiti di Malaysia turut terlibat iaitu kampus University of Nottingham Malaysia (UNMC) yang bertindak sebagai koordinator program, selain Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Dua universiti Eropah yang terlibat dalam pertukaran pensyarah untuk menyampaikan pengajaran dalam beberapa bidang tertentu berorientasikan EU pula ialah University Nottingham di United Kingdom (UK) dan University of Maastricht di Belanda.

Selain itu, tiga rakan sekutu kerjasama ini juga melibatkan institusi penyelidikan dan syarikat tempatan seperti Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia (ISIS), Institut Penyelidikan Pendidikan Tinggi Negara (IPPTN), USM serta Petroliam Nasional Berhad (Petronas).

Pensyarah dari University of Maastricht akan berkongsi kepakaran dalam bidang ekonomi dan perniagaan bersama UPM, sementara UMS pula menjadi hos dan koordinator kepada pengajian media dan sejarah berkaitan EU.

University of Nottingham, UK yang juga melahirkan graduan ternama seperti Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pula akan berkongsi kepakaran bersama UM dalam bidang politik dan undang-undang.

Kesemua perkongsian pengetahuan dan kepakaran berkaitan EU melalui UPM, UMS dan UM seterusnya akan dihimpun melalui satu sistem simpanan maklumat yang boleh diakses secara dalam talian dikenali sebagai MYEUHENET.

Selain itu, struktur projek MYEULINK dirangka melibatkan penganjuran seminar berkaitan polisi EU dengan kerjasama tiga rakan sekutu melibatkan aspek keselamatan luar dan migrasi (ISIS) alam sekitar dan sains teknologi (IPPTN) serta tenaga (Petronas).

Kesemua penganjuran seminar tersebut melibatkan sumber kepakaran daripada pengajian tinggi, sektor awam dan swasta yang diselia oleh University of Nottingham, University of Maastricht dan Jaringan Sokongan Kecemerlangan Eropah (EESN).

Bagi mengembangkan hubungan organisasi awam dan swasta di Malaysia, satu lagi sistem simpanan maklumat secara dalam talian berkaitan polisi EU (MYEUHLSNET) akan dibangunkan bagi memadankannya dengan pusat-pusat penyelidikan dan pengetahuan yang relevan di Eropah.

Hasil gabungan input yang dikumpul melalui MYEUHENET dan MYEUHLSNET pula dijadikan pemangkin ke arah mewujudkan sebuah Community of Practice (MYEUCOP) yang mampu menzahirkan kepakaran dan amalan terbaik Malaysia-EU melibatkan beberapa polisi termasuk pendidikan.

Justeru, melalui MYUECOP yang diletakkan di bawah penyelarasan UM, ia diharapkan dapat menjadi platform untuk meningkatkan kesedaran terhadap polisi yang dilaksanakan EU melalui kursus latihan yang melibatkan sektor awam dan swasta.

Akhirnya, MYEUCOP dijadikan garis panduan dan landasan ke arah penubuhan MYEUCENTRE melalui dialog, debat dan pertukaran kepakaran antara ahli akademik EU serta pembuat polisi di Malaysia dalam menentukan reaksi kedua-dua pihak terhadap beberapa polisi termasuk di peringkat pengajian tinggi.

Sumber: Utusan Malaysia

%d bloggers like this: