jump to navigation

Industri Bioteknologi Perlukan 20,000 Pekerja Berilmu Menjelang 2014 24 May 2010

Posted by admin in kerjaya.
trackback

KUALA LUMPUR, 24 Mei (Bernama) — Industri bioteknologi memerlukan lebih 20,000 pekerja berilmu termasuk ahli sains profesional menjelang 2014, kata Menteri Sains, Teknologi dan Innovasi Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Beliau berkata kejayaan jangka panjang industri bioteknologi amat bergantung kepada kemahiran pekerja berilmu.

“Bagi memastikan kelestarian perkembangan sektor ini kita memerlukan bilangan pekerja mahir yang ramai dan berkelayakan tinggi serta terdedah kepada teknologi dan penyelidikan yang bertaraf antarabangsa,” katanya dalam teks ucapan perasmian Seminar Bioteknologi Kebangsaan ke-15 di sini pada Isnin.

Teks ucapannya dibacakan oleh Presiden dan Ketua Eksekutif Sirim Bhd Ir Yahaya Ahmad.

Ongkili berkata laporan dari syarikat penganalisis global, Frost and Sullivan, industri bioteknologi Malaysia dijangka menjana pendapatan RM45 bilion pada 2013.

Katanya laporan pembangunan sumber manusia firma itu pada 2009 memberikan unjuran kadar kenaikan pendapatan 15 peratus dari sektor bioteknologi.

Ini selari dengan sasaran yang menetapkan 2.5 peratus keluaran dalam negara kasar (KDNK) akan disumbangkan oleh industri bioteknologi tempatan, katanya.

Dasar bioteknologi kebangsaan juga akan memasuki fasa kedua pelaksanaannya yang menetapkan sasaran fasa ini sebagai “sains ke pasaran” pada 2011, katanya.

Katanya penganjuran seminar itu adalah sangat bertepatan kerana melaluinya, hasil penyelidikan para penerima geran akan dipamerkan dan dibentangkan untuk dijadikan sebagai penanda aras kepada kemampuan teknologi.

Pelbagai kejayaan dalam bidang penyelidikan telah dilakar dan ia patut dikongsi bersama serta diterokai sebagai peluang inovasi dan pengkomersilan selaras dengan sasaran fasa kedua bioteknologi kebangsaan, katanya.

“Amat penting bagi MOSTI, khususnya bahagian bioteknologi kebangsaan, untuk menilai kembali pelaksanaan fasa pertama dan mendapatkan output pelaksanaannya,” kata Ongkili.

“Seterusnya, output ini akan membantu bahagian ini dalam merencanakan strategi dan pelan pelaksanaan dalam memastikan kejayaan pelaksanaan fasa kedua dasar bioteknologi kebangsaan dalam rancangan Malaysia ke-10,” katanya.

Sebanyak 249 projek akan dipamerkan pada seminar ini, di mana ia merupakan lebih kurang 50 peratus daripada projek bioteknologi yang dibiayai di bawah program e-Sains semasa Rancangan Malaysia ke-sembilan yang bernilai lebih RM100 juta.

Sumber:  BERNAMA

%d bloggers like this: