jump to navigation

Cisco, MDeC Dan UM Bekerjasama Dalam Program Bagi PKS 20 May 2010

Posted by admin in Akademik, kerjaya.
trackback

KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) — Cisco Malaysia, Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) dan Universiti Malaya bekerjasama bagi menjayakan satu program latihan mahasiswa, yang diberi nama Program Latihan Industri Cisco (CiTP).

“Program itu akan mengenal pasti, membangunkan dan menyediakan pakar-pakar perangkaian teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) berkemahiran bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” kata Anne Abraham, Pengarah Urusan Cisco Malaysia.

Beliau menegaskan bahawa PKS merupakan nadi ekonomi negara, dengan menyumbang lebih 90 peratus perniagaan dan menampung 65 peratus tenaga kerja di negara ini.

“Segmen pasaran ini juga dijangka menyumbang 37 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia menjelang akhir tahun, menjadikannya segmen penting kepada pertumbuhan ekonomi tempatan,” katanya dalam ucapannya pada pelancaran program itu di sini, hari Khamis.

Menurut Anne, kejayaan CiTP akan menentukan sekala pelaksanaan pada masa akan datang.

“Kami bercita-cita untuk membawanya ke tahap yang lebih tinggi, memperluas peluang dan menjadikannya satu model unggul, bukan sahaja bagi rakan-rakan kami dalam sektor ICT, malah juga bagi seluruh industri dalam pasaran.

“Program ini, yang masih dalam fasa percubaan, akan bermula dengan sasaran 35 mahasiswa dari Fakulti Sains Komputer, Universiti Malaya. Mereka akan dihantar untuk latihan dengan PKS yang dilantik,” jelas beliau.

Pelajar-pelajar yang terpilih akan ditugaskan di PKS yang diiktiraf dan dipilih oleh MDEC, untuk membantu menguruskan dan menyenggara persekitaran perangkaian dan ICT bagi tempoh enam bulan.

Cisco menyumbang secara konsisten kepada pembangunan pakar-pakar perangkaian ICT di Malaysia melalui program Akademi Perangkaian Cisco.

Program Akademi Perangkaian Cisco ialah satu program pendidikan global yang melatih pelajar tentang cara-cara mereka bentuk, membina, menyelesaikan masalah, dan menjamin keselamatan rangkaian komputer bagi meningkatkan peluang kerjaya dan ekonomi dalam komuniti di seluruh dunia.

Sementara itu, Universiti Malaya berbesar hati pelajar-pelajarnya terpilih sebagai penerima manfaat perintis CiTP.

“Ini contoh baik satu inisiatif pendidikan awam-swasta yang memberikan takrif baharu kepada model dan sistem sedia ada untuk merapatkan jurang kemahiran,” kata Prof Dr Wan Ahmad Tajuddin bin Wan Abdullah, Dekan Fakulti Teknologi Maklumat dan Sains Komputer, Universiti Malaya.

Cisco adalah peneraju dunia dalam perangkaian, yang mencetuskan pembaharuan dalam cara orang berhubung, berkomunikasi dan bekerjasama.

Sumber:  BERNAMA

%d bloggers like this: