jump to navigation

Universiti Politeknik 2015 19 May 2010

Posted by admin in Akademik.
trackback

KUALA TERENGGANU 18 Mei – Kerajaan menyasarkan sebuah universiti politeknik ditubuhkan menjelang 2015 sejajar dengan langkah transformasi menjadikan politeknik peneraju pendidikan teknik dan vokasional di negara ini.

Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Politeknik, Kementerian Pengajian Tinggi, Dr. Abdul Rahim Ahmad berkata, selaras dengan program transformasi itu, tiga buah politeknik perintis dinaik taraf sebagai Politeknik Premier (Perdana).

Politeknik tersebut ialah Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Politeknik Ungku Omar, Ipoh dan Politeknik Johor Bahru.

Katanya, melalui pelan transformasi ini, politeknik disasarkan untuk menjadi pusat pengajian teknikal pilihan utama di kalangan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia, sekali gus mengangkat martabat Politeknik itu sendiri.

”Seharusnya kita berbangga dengan pengiktirafan ini,” katanya selepas Majlis Konvokesyen Politeknik Kota Kuala Terengganu di Taman Tamadun Islam di sini baru- baru ini.

Mengulas lanjut Dr. Abdul Rahim berkata, menerusi transformasi ini beberapa objektif telah dikenal pasti antaranya untuk melonjakkan akses kepada politeknik dengan menyediakan pembelajaran bernilai tinggi daripada kursus-kursus sedia ada.

Katanya, selain mengukuhkan relevannya program pengajian dan kebolehan pengajar di politeknik terhadap kehendak pembangunan ekonomi negara, ia diharap menjadi peneraju bidang pembangunan penyelidikan teknologi tertentu, sesuai dengan kehendak dan keperluan industri.

”Kami juga mahu membina reputasi dan jenama baru dan inisiatif baru sistem pengajian politeknik yang mampu meletakkan sistem ini sebagai institusi pengajian terbaik negara.

”Selain itu, ia mampu meningkatkan aspek kualiti, nilai kursus pengajian dan tahap institusi politeknik yang ditanda aras setaraf dengan institusi terbaik negara,” katanya.

Dr. Abdul Rahim percaya program transformasi yang dilancarkan merupakan usaha penting ke arah meningkat kualiti dan memperkasa pendidikan vokasional dan teknik di negara ini.

Katanya, transformasi ini boleh dijayakan melalui inovasi sistematik yang menambah nilai kepada proses dan keberhasilan pendidikan dan latihan politeknik.

Ini bermakna warga politeknik perlu sentiasa memikirkan cara baru dan kaedah baru untuk meningkatkan keberhasilan pendidikan dan latihan ini.

”Ini termasuklah melakukan inovasi dari segi pembangunan kurikulum, latihan sumber manusia, menambak baik struktur dan tadbir urus institusi serta pengukuhan kerjasama antara institusi dan industri.

”Adalah diharapkan melalui transformasi ini politeknik ini berupaya menghasilkan kejayaan kepada individu pelajar, industri, masyarakat dan negara dan penciptaan kemewahan baru,” katanya.

Beliau juga menaruh keyakinan penuh seluruh warga politeknik akan sama menentukan kejayaan agenda transformasi politeknik yang telah direncanakan.

Katanya, ini penting kerana transformasi Politeknik ini akan menyuburkan lagi budaya inovasi di setiap Politeknik.

Unit penyelidikan dan Pembangunan (R&D) yang diwujudkan di Politeknik akan melahirkan lebih ramai lagi graduan yang berkualiti selaras dengan kehendak pasaran yang lebih berorientasikan inovatif di dalam sektor pekerjaan.

Untuk itu, katanya politeknik telah mewujudkan beberapa pelan strategik bagi merealisasikan hasrat tersebut, umpamanya dengan mengadakan program-program ke arah penggalakkan R&D seperti seminar akademik dan sebagainya.

Adalah diharapkan agar hasil daripada penyelidikan dan pembangunan ini dapat menterjemahkan politeknik sebagai pusat penyelidikan dan pembangunan yang terulung di rantau ini khasnya.

Sumber: Utusan Malaysia

%d bloggers like this: