jump to navigation

Latihan kemahiran diselaras 18 May 2010

Posted by admin in Akademik.
trackback

PUTRAJAYA 17 Mei – Kerajaan akan menubuhkan sebuah Majlis Penyelarasan Kemahiran Kebangsaan bertujuan merancang dan melaksanakan latihan kemahiran membabitkan agensi-agensi kerajaan.

Majlis yang dipengerusikan oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam itu bertujuan menyediakan sumber tenaga mahir yang dapat memenuhi keperluan tenaga industri.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, majlis tersebut akan bertindak mengarusperdanakan latihan kemahiran teknikal dan vokasional supaya mempunyai prospek yang setaraf dengan aliran pendidikan dan fleksibel.

”Dari sudut tenaga mahir dalam bidang teknologi maklumat (IT), kita berpendapat ini satu dari sektor kecil yang penting dalam mewujudkan sebuah Model Ekonomi Baru (MEB).

”Jadi, kita setuju program ‘bridging’ dipergiatkan untuk beri keseimbangan dari segi teori dan kita setuju MDEC memainkan peranan untuk mengambil langkah sewajarnya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pembangunan Modal Insan kali Kedua.

Hadir sama Subramaniam dan Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang Gandum.

Muhyiddin menambah, setiap tahun seramai 26,366 orang atau enam peratus pelajar dikategorikan sebagai pelajar berprestasi akademik rendah yang bagaimanapun mungkin memiliki kemahiran dan kecenderungan dalam bidang kemahiran teknikal.

”Kita setuju supaya Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pelajaran menerusi program Kolej Komuniti bekerjasama rapat untuk menawarkan program kemahiran kepada pelajar,” katanya.

Beliau berkata, MEB yang dilancarkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini bertujuan menjadikan Malaysia sebuah negara maju yang berpendapatan tinggi dengan ciri keterangkuman dan kebolehmampanan menjelang 2020.

Justeru, kata beliau, usaha untuk membangunkan modal insan berkualiti bagi mencapai ekonomi berpendapatan tinggi adalah mencabar dan memerlukan perancangan rapi kerana negara hanya mempunyai 23 peratus tenaga mahir.

”Pada tahun lalu kadar kebolehpasaran di kalangan siswazah kurang memuaskan apabila sebanyak 27 peratus daripada graduan institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan masih menganggur selepas konvokesyen,” katanya.

Menurutnya, mereka yang berjaya mendapat pekerjaan adalah sebanyak 29 peratus pada tahun 2006 dan 33 peratus pada tahun 2009.

Kebanyakan terdiri daripada siswazah yang memperoleh pendapatan kurang RM1,500.

Muhyiddin menegaskan, dalam konteks ini negara bukan sekadar memberi penekanan kepada pertambahan bilangan tetapi kualiti pendidikan dan latihan supaya lepasan institusi pendidikan dan latihan dapat memenuhi keperluan industri.

”Tumpuan dalam pembangunan sumber manusia akan dijuruskan kepada pengukuhan kualiti pendidikan dan latihan di semua peringkat. Penekanan kepada pembangunan fizikal akan dikurangkan,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia

%d bloggers like this: