jump to navigation

Lebih 100,000 mohon jawatan guru 16 May 2010

Posted by admin in Akademik, kerjaya.
trackback

KUANTAN 15 Mei – Profesion perguruan dianggap antara kerjaya paling popular apabila Kementerian Pelajaran menerima lebih 100,000 permohonan kemasukan ke maktab-maktab perguruan di seluruh negara.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom bagaimanapun berkata, maktab-maktab perguruan sedia ada hanya mampu menampung kemasukan kira-kira 4,000 penuntut.

Katanya, kewujudan 27 institusi pendidikan dan universiti awam yang berupaya melahirkan guru berkualiti juga dapat menyelesaikan masalah kekurangan guru yang mungkin berlaku di sesuatu tempat atau sekolah dengan kadar segera.

“Profesion guru memang cukup popular, lebih 100,000 orang memohon untuk memasuki maktab perguruan yang hanya boleh diisi lebih kurang 4,000 orang.

“Jadi, dari segi pemilihan bakal guru yang berkualiti tiada masalah, kita banyak pilihan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau ditemui pada majlis pelancaran Festival Hari Guru 2010 peringkat kebangsaan yang dirasmikan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob di pusat beli-belah East Coast Mall (ECM) di sini.

Turut hadir, Pengarah Pelajaran Pahang, Datuk Abdul Aziz Abdul Latiff, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin, Pengarah Eksekutif Kumpulan, Kumpulan Utusan, Mohd. Nasir Ali dan Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Othman Mohamad.

Mengulas lanjut, Alimuddin berkata, bagi melahirkan pendidik berkualiti, setiap bakal guru perlu melalui tiga tapisan iaitu memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) tidak kurang 2.75, lulus ujian bertulis dan temuduga.

“Jadi, kita akan mendapat guru yang berkualiti,” katanya.

Mengenai penempatan di pedalaman, Alimuddin menjelaskan, masalah itu tidak timbul kerana setiap guru yang ditempatkan di kawasan itu diberi elaun sebanyak RM1,500.

Bagaimanapun katanya, pihak kementerian sentiasa memberi pertimbangan kepada guru yang memohon untuk dipindahkan atas faktor-faktor tertentu seperti kesihatan.

Mengenai masalah kekurangan guru di Pahang seperti dilaporkan baru-baru ini, beliau menjelaskan, perkara tersebut telah diatasi sepenuhnya.

Sumber: Utusan Malaysia

%d bloggers like this: