jump to navigation

Kualiti Taraf Kehidupan Perlu Ditingkatkan Untuk Capai Negara Maju, Kata Mahani 14 May 2010

Posted by admin in Uncategorized.
trackback

KUALA LUMPUR, 14 Mei (Bernama) — Hasrat Malaysia untuk mencapai status pendapatan tinggi seperti yang termaktub dalam Model Baru Ekonomi (MBE) perlu difokuskan kepada peningkatan kualiti taraf kehidupan bukan sahaja pertumbuhan ekonomi.

Ketua Eksekutif Institut Strategik dan Kajian Antarabangsa (Isis) Malaysia Datuk Dr Mahani Zainal Abidin berkata masyarakat Malaysia perlu meningkatkan kemahiran, daya saing dan produktiviti dalam persekitaran ekonomi global yang semakin mencabar.

“Negara telah mencapai kejayaan yang membanggakan, bagaimana pun kita masih mempunyai kelemahan yang mesti diatasi melalui langkah tegas,” katanya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk, “Agenda Ekonomi Melayu Dalam Model Baru Ekonomi” di Konvesyen Usahawan Melayu 2010 di sini pada hari Jumaat.

Katanya hampir 60 peratus isi rumah berpendapatan kurang dari RM3,000 sebulan dan kebanyakan industri didominasi oleh pekerja berkemahiran sederhana dan rendah.

Beliau berkata jurang pendapatan antara kumpulan berpendapat tinggi dan berpendapatan rendah juga semakin meluas dan ini boleh membawa kepada ketidakharmonian masyarakat.

“Oleh yang demikian, banyak rintangan yang perlu diatasi untuk maju ke depan,” katanya.

Mahani berkata beberapa perkara perlu diperbaiki dan ditambah baik seperti gejala rasuah, sistem pendidikan, sistem subsidi, pasaran buruh dan penglibatan sektor swasta serta sektor awam.

Mengenai MBE, beliau menjelaskan bahawa dasar yang iperkenalkan oleh kerajaan tidak akan meminggirkan kaum bumiputera dan ia adalah sejajar dengan dasar yang telah digunakan sebelum ini khususnya Dasar Ekonomi Baru (DEB).

“Walau pun DEB telah terbukti berjaya membasmi kemiskinan, mengimbangi dan menyamaratakan peluang untuk setiap lapisan masyarakat tidak mengira kaum, masih terdapat beberapa kelemahan dalam pelaksanaannya,” katanya, sambil menyatakan bahawa tidak semua instrumen mengstrukturkan pegangan kekayaan berjaya dilakukan dalam DEB.

Sebagai contoh, Permodalan Nasional Bhd dan pengswastaan adalah instrumen yang paling berkesan dalam usaha meningkatkan pegangan ekuiti bumiputera tetapi instrumen-instrumen yang lain tidak dapat mengekalkan pegangan ekuiti atau telah memakan perbelanjaan yang besar, katanya.

MBE, sebaliknya akan fokus kepada meningkatkan bakat dan potensi ekonomi bumiputera dan mengurangkan pendapatan relatif antara berbilang kaum serta menambah baik kemahiran bumiputera dalam bidang-bidang baru dalam sektor bernilai tinggi.

Sumber: BERNAMA

%d bloggers like this: