jump to navigation

Kikis Sikap Malu Berniaga, Kata Pengerusi FAMA 13 May 2010

Posted by admin in kerjaya.
trackback

KUALA LUMPUR, 12 Mei (Bernama) — Sikap malu, memandang rendah status peniaga di pasar tani serta mengharapkan kerja dalam suasana berhawa dingin adalah sebahagian daripada faktor yang menyebabkan kebanyakan siswazah menjadi penganggur.

Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Datuk Paduka Badruddin Amiruldin berkata sikap sedemikian harus dikikis khususnya di kalangan siswazah bagi membolehkan mereka merebut peluang yang ditawarkan FAMA menerusi Program Pembangunan Usahawan Tani.

“Jangan melihat sesuatu (pekerjaan) itu seperti mi segera yang boleh terus masak. Meskipun ada ijazah, nak jadi terus senang memang tidak boleh, kita kena berusahalah dari bawah.

“Tetapi nak berniaga ni, sikap malu tidak boleh ada. Lagipun bukan kita buat kerja tidak elok. Ini (berniaga) kerja yang baik, ikhlas dan halal, dalam Islam pun sebut, 9/10 rezeki itu datang daripada perniagaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Pembangunan Usahawan Tani di sini, pada Rabu.

Beliau berkata sehingga kini, terdapat kira-kira 2,000 siswazah yang telah menyertai program anjuran FAMA dan mensasarkan jumlah tersebut akan bertambah sekurang-kurangnya kepada 3,000 orang pada akhir tahun ini.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata adalah menjadi hasrat kerajaan untuk menjadikan siswazah sebagai usahawan dalam pelbagai sektor termasuk pertanian.

“Senario kini telah banyak berubah berbanding 20 atau 20 tahun dahulu. Memegang segulung ijazah kini tidak lagi menjanjikan jawatan tinggi sama ada di sektor awam ataupun swasta.

“Dengan pertambahan lulusan IPTA (Institut Pengajian Tinggi Awam) dan IPTS (Institut Pengajian Tinggi Swasta) setiap tahun, bidang keusahawanan merupakan alternatif terbaik bagi para siswazah mempersiapkan diri mengharungi kehidupan di masa depan,” katanya.

Badruddin berkata anjakan minda ke arah penerimaan bahawa pertanian adalah perniagaan amat dituntut bagi membolehkan negara mencapai status negara berpendapatan tinggi.

Mengenai Program Pembangunan Usahawan Tani, beliau berkata program tersebut bertujuan untuk melahirkan usahawan-usahawan bumiputera di kalangan siswazah supaya lebih berkeyakinan, mempunyai daya saing yang tinggi dalam bidang pemasaran pertanian serta berdaya maju yang boleh menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Katanya menerusi program ini, peserta berpeluang untuk memperolehi ilmu pengetahuan yang berguna mengenai pengurusan pemasaran hasil pertanian dan mengamalkannya ketika berhadapan operasi pemasaran yang sebenar.

Program Pembangunan Usahawan Tani mempunyai tujuh projek iaitu Usahawan Pasar Tani, Usahawan Gerai Buah-Buahan Segar, Pembekal Komoditi Segar, Pengedar Barangan Makanan Proses, Pembekal Puyuh dan Ikan Air Tawar, Pembekal Laporan Pasaran dan Terjemahan dan Promoter Jualan.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pengarah FAMA (Bahagian Operasi) Nordin Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif FAMA Corporation Sdn Bhd (FAMACO) Ahmad Kamal Mohd Ismail.

Sumber: BERNAMA

%d bloggers like this: