jump to navigation

Negara masih kekurangan pakar mata – Rosnah 12 May 2010

Posted by admin in kerjaya.
trackback

SHAH ALAM 11 Mei – Malaysia masih kekurangan pakar mata bagi memenuhi nisbah 1:10,000 penduduk negara yang ketika ini berjumlah 28 juta orang.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, keadaan itu berlaku kerana bilangan mereka yang menceburi bidang berkenaan amat sedikit berbanding bidang-bidang lain.

“Kita hanya mempunyai 435 pakar bedah mata yang bertugas di hospital kerajaan dan swasta dan daripada jumlah itu seramai 165 daripada mereka bekerja dengan Kementerian Kesihatan, 220 di pusat perubatan swasta dan 50 di universiti.

“Namun jumlah berkenaan bukanlah satu angka yang mencukupi dan kementerian berharap ia dapat ditingkatkan dengan menggalakkan lebih ramai pelajar mengikuti pengajian dalam bidang ini bagi mengatasi kekurangan pakar mata.

“Malah jumlah ini juga masih belum memenuhi sasaran Majlis Optometri Sedunia (WCO) yang menetapkan sekurang-kurangnya satu optometri bagi 10,000 rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pelajar Optometri Peringkat Kebangsaan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam di sini hari ini.

Sumber: Utusan Malaysia

%d bloggers like this: