jump to navigation

Tahap kemahiran insaniah diukur mulai Julai 11 May 2010

Posted by admin in Hal Ehwal Murid.
trackback

PUTRAJAYA 11 Mei – Mulai Julai ini semua institusi pengajian tinggi awam (IPTA) akan menjalankan pengukuran kemahiran insaniah dalam usaha melahirkan siswazah berkebolehan.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, langkah tersebut bagi membolehkan kementerian mengetahui tahap kemahiran insaniah pelajar sama ada mereka memiliki kemahiran yang seimbang atau sebaliknya.

Sehubungan itu, katanya, semua pelajar IPTA tidak akan terlepas daripada menjalani tahap pengukuran kemahiran insaniah sama ada pelajar baru atau pelajar lama.

“Dengan pelaksanaannya, keputusan tahap pengukuran siswazah boleh diketahui seawal tahun 2011 yang melibatkan pelajar sedia ada.

“Keputusan tahap pengukuran kemahiran insaniah secara penuh dari awal pengajian sehingga ke tahun akhir pula akan dapat diketahui pada 2013 iaitu melibatkan pelajar-pelajar baru yang akan mendaftar pada tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program pelancaran Cyber Volunteers untuk Karnival Kerjaya dan Keusahawanan Graduan (K3G) di Kelab Tasik Putrajaya di sini semalam.

Pasukan tersebut terdiri daripada sekumpulan mahasiswa termasuk golongan muda yang bergiat aktif dalam media baru seperti blog, Facebook, Twitter dan laman web.

Mereka bertanggungjawab membantu pihak kementerian secara sukarela mempromosi K3G yang akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur pada 14 hingga 16 Mei ini.

Saifuddin berkata, antara kemahiran yang akan diukur adalah berkomunikasi; pemikiran kritis dan kemahiran menyelesaikan masalah; kemahiran berpasukan dan pembelajaran berterusan.

Selain itu, katanya, kemahiran lain yang akan diukur adalah pengurusan maklumat, keusahawanan, kemahiran keusahawan, moral etika profesional dan kepimpinan.

”Pengukuran tahap kemahiran insaniah ini dapat melahirkan lepasan IPTA berkebolehan dari insaniah yang merangkumi aspek sikap dan akhlak,” katanya.

Pada masa sama, beliau meminta institusi pengajian tinggi swasta turut mengikut jejak IPTA dalam melaksanakan tahap pengukuran kemahiran insaniah terhadap penuntut masing-masing.

Sementara itu , katanya, selain pemberian kurikulum berkredit, para pelajar turut diberikan nilai tambahan kemahiran insaniah menerusi pengajaran khusus dalam kuliah yang telah digabung jalin secara sistematik.

”Ini bermakna usaha untuk membangunkan potensi dan kualiti pelajar di kampus tidaklah semestinya bergantung dengan kegiatan kokurikulum yang diberi kredit semata-mata.

”Tetapi ia dilaksanakan secara bersepadu dan bekerjasama antara satu sama lain,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia

%d bloggers like this: