jump to navigation

Ekspo Kerjaya JobsDB Malaysia 2010 Terima 65,000 Permohonan Kerja 9 May 2010

Posted by admin in kerjaya.
trackback

KUALA LUMPUR, 9 Mei (Bernama) — Ekspo Kerjaya JobsDB Malaysia 2010, yang berakhir Ahad selepas tiga hari berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, menerima 65,000 permohonan untuk kira-kira 2,000 jawatan kosong yang ditawarkan.

Pengurus Besar JobsDB Malaysia Sdn Bhd Timothy Hor berkata ekspo itu, yang bertema “Better Location, Better Technology and Better Job Candidates”, disertai 100 syarikat multinasional dan swasta yang menawarkan pelbagai peringkat jawatan iaitu daripada peringkat bawahan sehingga ke pentadbiran tertinggi.

“Expo kelima kami kali ini agak berbeza sekali berbanding ekspo kerjaya lain kerana menampilkan bengkel-bengkel mengenai cara membuat resume berkualiti dan juga sesi pembangunan individu antaranya oleh pakar motivasi antarabangsa Dr Billy Kueek.

“Secara keseluruhannya ekspo ini boleh dianggap berjaya kerana lebih 70 peratus daripada 100 syarikat yang mengambil bahagian mendapat calon pekerja yang mereka mahukan,” katanya kepada Bernama di sini.

Rata-rata pengunjung terdiri daripada golongan profesional berpengalaman yang mencari peluang baru pekerjaan manakala graduan baru menamatkan pengajian mengambil kesempatan untuk mencari pekerjaan sesuai.

Graduan bidang Sumber Manusia dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Nur Khairunnisa Zolkipli, 23, yang mendapat tahu mengenai ekspo berkenaan melalui internet, berasa kagum dengan jumlah jawatan kosong ditawarkan.

“Banyak syarikat yang mengambil bahagian, ada antaranya yang saya tak pernah dengar sebelum ini. Jawatan kosong yang ditawarkan juga pelbagai dan banyak pilihan bagi kami yang baru sahaja tamat pengajian,” katanya yang ditemani rakannya Haidah Abdul Latiff, 23, yang juga graduan UTM.

Pekerja bidang Teknologi Maklumat (IT) Loke Chee Leong, 23, berkata ekspo kerjaya ini berbeza daripada yang lain apabila mewujudkan suasana lebih santai bagi pengunjung untuk bertemu dengan majikan berpotensi.

“Ekspo seperti ini amat membantu kami dalam mencuba mendapatkan pekerjaan selain daripada mencari kekosongan jawatan melalui iklan yang dikeluarkan di dalam surat khabar,” katanya yang berasal dari Kelana Jaya.

Graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Fadhliah Zulkifli, 24, berpendapat ekspo itu lebih banyak menawarkan kerjaya dalam bidang kejuruteraan dan IT.

Syarikat yang menawarkan pekerjaan pula rata-rata amat berpuas hati dengan kualiti pencari pekerjaan yang memohon kepada mereka.

Penolong Pengurus Latihan Dalaman Marcus Evans, sebuah syarikat informasi perniagaan antarabangsa Nurul Huda R. Azmi berkata pihaknya mendapat banyak permohonan bagi memenuhi kekosongan dalam bidang pemasaran terutamanya daripada graduan lepasan ijazah.

Sumber: BERNAMA

%d bloggers like this: