jump to navigation

Politeknik dinaik taraf universiti 7 May 2010

Posted by admin in Akademik.
trackback

SIBU 6 Mei – Kementerian Pengajian Tinggi menyasarkan semua politeknik di negara ini dinaik taraf menjadi universiti politeknik pada tahun 2015 bagi meneruskan kecemerlangan institusi kemahiran itu.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, buat masa ini pihaknya dalam perancangan untuk memastikan institusi kemahiran itu mampu menawarkan diploma, diploma lanjutan, ijazah sarjana muda, ijazah sarjana sehinggalah kepada Doktor Falsafah (Ph.D).

”Sekarang ini politeknik hanya menawarkan diploma sahaja. Apabila mereka sudah tamat pengajian, mereka terpaksa melanjutkan pengajian ke universiti.

”Perancangan kita ialah kita mahu mereka ini meneruskan pengajian dari diploma sehingga ke doktor falsafah. Negara memerlukan siswazah yang mempunyai kemahiran yang tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran Kemasukan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan politeknik di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengurusan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Dr. Mohamad Shahrum Osman dan calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Sibu, Robert Lau Hui Yew.

Pada majlis itu, Mohamed Khaled menyerahkan surat tawaran kepada 211 orang lepasan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) dari Sibu yang mendapat tawaran ke politeknik dan 190 orang yang mendapat tempat ke IPTA.

Selain itu, beliau menyerahkan pendahuluan pinjaman PTPTN sebanyak RM1,500 untuk persediaan ke IPTA dan politeknik kepada anak-anak yang pendapatan keluarganya kurang daripada RM3,000 sebulan.

Mohamed Khaled berkata, selain menaik taraf politeknik, turut mendapat perhatian ialah cadangan menukar pinjaman PTPTN kepada biasiswa untuk mereka yang mendapat ijazah sarjana muda kelas pertama di IPTA dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).

”Cadangan ini akan dilakukan pada tahun ini dan kita menjangkakan tiga peratus mahasiswa IPTA dan IPTS akan mendapat ijazah sarjana muda kelas pertama yang membabitkan pinjaman bernilai RM70 juta setahun,” katanya.

Sementara itu, pada majlis berasingan, beliau berkata, pengumuman kerajaan untuk menaik taraf Kolej Laila Taib (KLT) sebagai universiti kolej menjelang tahun 2012 tidak seharusnya dijadikan isu pada kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Sibu tidak lama lagi.

”Adalah bernasib malang jika ada pihak cuba menggunakan isu menaik taraf KLT menjadi universiti kolej sebagai isu pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Sibu,” ujar beliau.

Katanya lagi, sekiranya perkara itu turut dijadikan isu dan pertikaian, maka tiada lagi sebarang perkara yang boleh dikongsikan bersama untuk memajukan Sibu.

Mengenai dengan KLT itu pula, Mohamed Khaled berkata, kementerian tidak mempunyai sebarang masalah untuk menaiktarafkan KLT sebagai universiti, malah menjangkakan ia mungkin boleh dilakukan lebih awal daripada sasaran tahun 2012.

Mengenai Memorandum Persefahaman (MoU) antara KLT dan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) di kolej tersebut hari ini, beliau memberitahu, MoU berkenaan bagi membolehkan lulusan KLT menyambung pengajian di peringkat ijazah sarjana muda di Unimas.

KLT diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Wong Kee Yew, manakala Unimas pula oleh Naib Canselornya, Prof Dr. Khairuddin Ab.Hamid.

Sumber: Utusan Malaysia

%d bloggers like this: