jump to navigation

Hany bangga bergelar juruterbang 5 May 2010

Posted by admin in kerjaya.
trackback

(Dari kiri) Hany Farhana Abd. Khalid, Khoo Lean Kee dan Natasha Mohamed Nazir menunjukkan ‘Sayap’ yang menjadi kebanggaan para graduan pada Majlis Konvokesyen Juruterbang Kadet Akademi Penerbangan Malaysia (MFA) di Ayer Keroh, Melaka, baru-baru ini.


MELAKA 4 Mei – Jika disebut tentang cita-cita sewaktu kecil ramai yang masih ingat mengenainya tetapi untuk merealisasikan impian tersebut hanya segelintir sahaja yang bertuah.

Apatah lagi jika cita-cita tersebut melibatkan impian seorang kanak-kanak perempuan untuk bergelar juruterbang pesawat komersial sedangkan bidang itu dimonopoli kaum lelaki.

Namun Hany Farhana Abd. Khalid, 23, berjaya membuktikan tiada apa yang boleh menghalang seseorang itu untuk mencapai impian apabila bergelar Pegawai Pertama (First Officer) di syarikat penerbangan Air Asia.

Ini setelah dia bersama 331 graduan Akademi Penerbangan Malaysia di sini menerima sayap penerbangan tanda lulus latihan sebagai juruterbang pada majlis konvokesyen akademi tersebut baru-baru ini.

Hany ketika ditemui berkata, dia sebenarnya masih terkejut kerana tidak menyangka minatnya sejak berusia empat tahun untuk menerbangkan pesawat menjadi realiti.

Malah katanya, dia kini mampu berbangga kerana dapat mencapai kerjaya impian selama ini.

“Walaupun selalu menaiki kapal terbang, saya tidak pernah jemu dan tidak sangka hari ini saya berjaya menjadi juruterbang,” katanya.

Pada konvokesyen berkenaan yang diadakan baru-baru ini, seramai 332 graduan telah menerima sijil tamat kursus penerbangan dan sayap penerbangan dari Pengarah Operasi Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Kapten Datuk Yahaya Abdul Rahman.

Bercerita lanjut, Hany yang merupakan anak sulung dari dua beradik berkata, dia tidak pernah berasa kekok untuk menceburi kerjaya yang dimonopoli oleh kaum lelaki itu.

“Dalam dunia hari ini, tidak ada yang mustahil. Asalkan ada minat dan azam, wanita boleh jadi juruterbang, lelaki pun boleh berjaya sebagai jururawat,” katanya.

Sementara itu, rakannya, Khoo Lean Kee, 23, berkata, dia seorang yang gemarkan cabaran dan tidak suka bermain dengan patung mainan sejak kecil.

“Walaupun berpeluang merantau seluruh dunia, kerjaya sebagai juruterbang sangat mencabar kerana bertanggungjawab menjaga keselamatan dan nyawa penumpang sepanjang penerbangan.

“Kerana sukakan cabaran, saya sedia memikul tugas itu dengan penuh komitmen,” katanya yang berasal dari Pulau Pinang.

Bagi Natasha Mohamed Nazir, 22, dia memang menggemari aktiviti lasak malah mempunyai motosikal berkuasa tinggi kerana gemar pada kelajuan.

“Menjadi juruterbang memberi kepuasan yang berlainan dan cepat sampai ke sesuatu lokasi,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia

%d bloggers like this: