jump to navigation

Pameran 100 rekaan Jepun di USM 4 May 2010

Posted by admin in Akademik.
trackback
Oleh ZABRY MOHAMAD
zabrymohamad.madzlan@utusangroup.com.my

Seorang wanita melihat robot buatan Jepun pada pameran Japanese Design Today 100 di USM, Pulau Pinang, baru-baru ini.


PULAU PINANG 4 Mei – Sudah pasti setiap rumah di negara ini mempunyai produk buatan Jepun.

Televisyen, peti ais, kereta, seterika, telefon bimbit dan pelbagai lagi yang kita guna banyak dihasilkan dari negara matahari terbit itu.

Kebiasaannya pengguna hanya mengagumi nilai estetika dan ergonomik produk tersebut, jarang sekali kita bertanya kenapa produk berkenaan dihasilkan sedemikian rupa.

Sehubungan itu, pameran yang sedang berlangsung hingga 15 Mei ini di Galeri Adiwarna, Pusat Pengajian Seni, Universiti Sains Malaysia (USM) seharusnya tidak dilepaskan oleh orang ramai.

Bertajuk Japanese Design Today 100, ia menampilkan lebih 100 ciptaan halus pereka Jepun dari tahun 1990 hingga hari ini.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar USM, Profesor Omar Osman berkata, pada lewat 1990-an, Jepun tidak terkecuali daripada kesan kegawatan ekonomi dunia.

Ketika itu, jelasnya, mereka menyedari bahawa proses pembuatan berubah daripada secara besar-besaran kepada pembuatan mengikut kehendak pelanggan.

“Di sinilah peluang untuk kita mengenali reka bentuk Jepun.

“Walaupun reka bentuk yang dipamerkan bermula seabad lalu, ia cukup untuk mencerminkan semangat Samurai orang Jepun dalam menghasilkan produk yang bukan setakat berkualiti tetapi juga elegan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan pameran berkenaan di sini baru-baru ini.

Turut hadir Pengarah Yayasan Jepun, Akihiko Murata.

Produk-produk yang dipamerkan jika dipandang sekali imbas mungkin tidak mempunyai sebarang keistimewaan.

Namun, setelah diamati secara mendalam, rekaan-rekaan tersebut begitu mengagumkan.

Sebagai contoh, papan penyelamat yang diperbuat daripada kertas kitar semula begitu ringan tetapi amat praktikal ketika kecemasan.

Ia pernah digunakan dalam operasi mencari dan menyelamat sewaktu gempa bumi Hanshin pada tahun 1995.

Contoh lain adalah perisai yang digunakan oleh pasukan polis pencegah rusuhan ketika Piala Dunia 2002.

Ia direka dengan sudut penglihatan lebih luas dan penggunaan lebih selamat untuk anggota polis.

Orang ramai yang berminat untuk melihat pameran itu boleh mengunjungi Galeri Adiwarna yang dibuka dari Isnin hingga Jumaat bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang.

Sumber: Utusan Malaysia

%d bloggers like this: