jump to navigation

Cemerlang bersama International Baccalaureate 2 May 2010

Posted by admin in Akademik.
trackback
Oleh HAFIZAHRIL HAMID

UNIVERSITI Malaya (kiri) dan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) (kanan) merupakan dua universiti yang mengiktiraf program diploma IB.



PENDIDIKAN adalah senjata untuk mencapai kemajuan dan masa depan yang lebih gemilang. Tanpa pelajaran kita akan terperangkap antara realiti dunia semasa yang sangat dahagakan pengetahuan bagi berhadapan dengan pelbagai kehendak kemajuan. Oleh itu adalah tidak menghairankan para ibu bapa sekarang mementingkan pendidik anak-anak sejak dari kecil lagi untuk memudahkan kehidupan mereka di masa depan.

Bagaimanapun dalam memastikan hasil yang terbaik untuk anak-anak pastinya ibu bapa akan memilih sekolah atau pusat pendidikan terbaik untuk mereka. Ini kerana terdapat terlalu banyak pusat pendidikan yang mendakwa mereka menyediakan sistem pendidikan terbaik bagi anak-anak kita. Jika tersilap pilih yang menjadi mangsa adalah anak-anak kerana ia membabitkan soal masa depan mereka.

Dalam soal pendidikan kebanyakan kita pastinya akan memilih yang terbaik dan bagi mereka yang mempunyai lebih wang mereka pastinya tidak berkira untuk memberikan yang terbaik kepada anak-anaknya.

Dalam kita membicarakan soal pendidikan mungkin kebanyakan kita tidak pernah mendengar program pendidikan yang dianjurkan oleh International Baccalaureate (IB).

IB atau sebelum ini dikenali sebagai International Baccalaureate Organisation (IBO) merupakan sebuah yayasan pendidikan antarabangsa yang beribu pejabat di Geneva, Switzerland. Diasaskan pada 1968, ia merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di bawah UNESCO.

IB menawarkan program pendidikan kepada para pelajar berusia antara tiga hingga 19 tahun bagi membantu meningkatkan kemahiran intelektual, emosional, sosial dan jati diri bagi memudahkan mereka belajar, bekerja dan hidup di dalam dunia yang semakin mencabar kini. Sehingga kini lebih 800,000 pelajar di IB 2,904 sekolah di 138 negara. Di Malaysia program tersebut ditawarkan di tujuh buah sekolah manakala tiga buah universiti mengiktiraf program diploma yang ditawarkan IB.

Pihak IB menawarkan tiga program pendidikan antarabangsa melibatkan sistem pendidikan peringkat kindergarden hinggalah ke peringkat pra-universiti.

Program pertama terdiri dari program pendidikan untuk pelajar di peringkat sekolah rendah yang berusia antara tiga hingga 12 tahun. Program itu menumpukan kepada pembangunan keseluruhan pelajar bermula di dalam kelas hinggalah apa yang terdapat di luar.

Seterusnya program kedua adalah program sekolah menengah bagi pelajar berusia antara 11 tahun hingga 16 tahun. Pelajar pada usia tersebut didedahkan kepada rangka kerja akademik yang mencabar selain kemahiran kehidupan yang merangkumi serta menjangkau subjek tradisional di sekolah.

Manakala program ketiga pula membabitkan diploma bagi pelajar berusia antara 16 hingga 19 tahun. Kumpulan tersebut akan didedahkan dengan ilmu pengetahuan terkini selama dua tahun sebelum memasuki peperiksaan akhir. Menariknya keputusan cemerlang yang diperoleh para pelajar program itu sememangnya diterima banyak universiti ternama di seluruh dunia.

Unik

IB merupakan sebuah institusi pendidikan yang unik kerana ia menawarkan khidmat pendidikan secara berterusan dari usia kecil hinggalah ke peringkat remaja. Pada peringkat awal penubuhannya IB hanya menawarkan program peringkat diploma sebelum menjalar ke peringkat menengah pada 1994 dan peringkat rendah tiga tahun selepas itu.

Pihak IB juga menggalakkan para pelajarnya mempunyai sikap yang positif terhadap pembelajaran dengan menggalakkan mereka bertanya soalan yang sukar bagi mencerna minda yang positif, membangunkan kemahiran membuat kajian serta belajar bagaimana untuk belajar. Selain itu IB juga sangat menggalakkan khidmat kemasyarakatan di kalangan pelajarnya lantaran mereka percaya bahawa banyak perkara boleh dipelajari selain pengajian akademik semata-mata. Selain itu para pelajar di IB juga digalak berfikiran antarabangsa. Bagaimanapun para pelajar perlu terlebih dahulu memahami budaya dan identiti negara sendiri selain mewajibkan mereka belajar bahasa bahasa kedua selain kemahiran hidup dan bekerjasama dengan rakan-rakan dari pelbagai negara.

Dengan pelbagai keunikan dan kejayaan program yang ditawarkan maka adalah tidak menghairankan kenapa IB menjadi pilihan kebanyakan ibu bapa yang mahu memberikan yang terbaik kepada anak-anaknya.

Sumber: Utusan Malaysia

%d bloggers like this: