jump to navigation

Guru Bahasa Inggeris dari England di IPG 27 April 2010

Posted by admin in Akademik.
trackback

TANAH MERAH 26 April – Sekumpulan 360 orang guru Bahasa Inggeris dari England akan diambil dan ditempatkan di Institut Pendidikan Guru (IPG) di seluruh negara Jun ini.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, guru berkelulusan sarjana itu akan berada di semua IPG terbabit selama tiga tahun bagi mengajar bahasa berkenaan kepada guru-guru pelatih.

”Mereka akan menggunakan modul khas bersifat interaktif melibatkan pembacaan, penulisan dan kemahiran.

“Kita mahukan guru-guru mempelajari Bahasa Inggeris daripada ‘penutur jati’ iaitu mereka yang sememangnya menggunakan bahasa tersebut dalam kehidupan seharian,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Pelajaran Vokasional Malaysia (SPVM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tahun 2009 peringkat Parlimen Tanah Merah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Belimbing di sini semalam.

Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Tanah Merah, Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz dan Pengarah Pelajaran Negeri Kelantan, Hussain Awang.

Seramai 791 pelajar menerima anugerah masing-masing pada majlis itu.

Mohd. Puad berkata, usaha membawa guru berkenaan menunjukkan keprihatinan kerajaan tentang kepentingan untuk memartabatkan bahasa itu di kalangan pelajar.

Menurutnya, ini kerana para pelajar perlu didedahkan dengan pelbagai corak pembelajaran Bahasa Inggeris bagi melengkapkan mereka dengan cabaran kerjaya masa depan.

Namun begitu tambahnya, kerajaan sama sekali tidak mengetepikan usaha untuk mengukuhkan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara.

Sumber: Utusan Malaysia

%d bloggers like this: