jump to navigation

Sekolah Sukan Akan Dibina Di Perlis, Kata Muhyiddin 13 April 2010

Posted by admin in Sukan.
trackback

KANGAR, 13 April (Bernama) — Sebuah sekolah sukan akan dibina di Perlis dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10), kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada hari Selasa.

Katanya, tapak bagi projek pembinaan sekolah itu telah disediakan dan beliau berharap ia dapat dilaksanakan demi kepentingan pembangunan sukan negara ini.

Berucap pada majlis perjumpaan khas Timbalan Perdana Menteri bersama warga pendidik dan kepimpinan persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) seluruh Perlis di sini, beliau berkata, kerajaan amat menggalakkan kegiatan sukan di kalangan para pelajar.

Muhyiddin berkata bidang sukan perlu diperkasakan kerana sejak kebelakangan ini didapati bidang sukan di sekolah-sekolah mulai merosot.

Bagi mengembalikan kegemilangan sukan, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, kementerian itu telah meletakkan sasaran “satu murid satu sukan.”

Timbalan Perdana Menteri berkata, selain pembangunan sukan, kerajaan juga sedang melihat keperluan pendidikan vokasional dan teknik di negara ini.

Ini sejajar dengan keperluan Model Ekonomi Baru (MEB) yang mana penekanan diperlukan untuk melahirkan tenaga kerja terlatih yang lebih besar, katanya.

“Kita sedang memikirkan sama ada perlu diwujudkan lebih banyak sekolah vokasional dalam RMK-10,” katanya.

Muhyiddin berkata, kerajaan juga akan memastikan sistem pendidikan negara ini akan bertaraf dunia dan sebagai langkah ke arah itu kerajaan memperkenalkan sekolah berprestasi tinggi (SBT).

Pada masa ini, sebanyak 20 buah sekolah di seluruh negara telah disenaraikan sebagai SBT dan jumlah itu akan terus berkembang sejajar dengan proses memperkasakan pendidikan negara.

Salah sebuah SBT itu terdapat di Perlis iaitu Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra.

Pada majlis itu, Muhyiddin turut menyampaikan anugerah kecemerlangan kepada 40 pelajar yang cemerlang pada beberapa peperiksaan utama termasuk Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu, Setiausaha Kerajaan Perlis, Datuk Mohamad Zabidi Zainal dan anggota-anggota Exco kerajaan negeri Perlis.

Sumber:  BERNAMA

%d bloggers like this: