jump to navigation

IKBN Sukan Permotoran Bakal Diwujudkan, Kata Ahmad Shabery 6 April 2010

Posted by admin in Sukan.
trackback

SERDANG, 5 April (Bernama) — Kerajaan bercadang mewujudkan sebuah Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) yang menjurus kepada pengajian sukan permotoran bagi memajukan lagi industri sukan itu di negara ini.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata IKBN itu akan menawarkan pengajian berkaitan kemahiran kejuruteraan dan teknikal dalam sukan permotoran dan dibangunkan dengan kerjasama pihak Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

“Kita akan membawa cadangan ini (kepada Kabinet) untuk dipertimbangkan dalam Rancangan Malaysia Ke-10,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Forum Sukan Permotoran Malaysia di sini Isnin.

Ahmad Shabery berkata sukan permotoran berpotensi untuk dimajukan sehingga menjadi sebuah industri yang kukuh dan dapat membantu menjana ekonomi negara termasuk mewujudkan banyak peluang pekerjaan kepada rakyat.

Beliau berkata di negara-negara Eropah dan Amerika Syarikat, penganjuran sesebuah acara sukan bermotor merupakan suatu projek besar yang melibatkan industri lain termasuk pelancongan, makanan, hiburan, insurans dan penginapan.

“Ini merupakan suatu industri baru yang boleh dimajukan malah memenuhi tuntutan Model Ekonomi Baru. Bayangkan peluang pekerjaan yang ada yang boleh diwujudkan termasuk penemuan-penemuan baru dalam R&D (penyelidikan dan pembangunan),” katanya.

Bagaimanapun, Ahmad Shabery berkata usaha memajukan industri sukan permotoran hanya akan dapat dicapai jika sukan itu menjadi sukan pilihan rakyat.

“Ini memerlukan satu lonjakan paradigma dalam pemikiran dan budaya rakyat.

“Sekarang ini pun ibu bapa tidak menggalakkan anak-anak mereka bergiat aktif dalam sukan. Mereka lebih mengutamakan akademik. Jadi, ini suatu pemikiran yang perlu kita ubah,” katanya.

Beliau berkata usaha mendidik masyarakat dalam membudayakan sukan sedang dijalankan kerajaan termasuk langkah memperkenalkan dasar ‘1Murid 1 Sukan’ yang akan dikuatkuasakan mulai tahun depan.

Terdahulu, forum yang membincangkan cabaran-cabaran dalam industri sukan permotoran itu dihadiri kira-kira 300 penggiat sukan permotoran dan pegawai kementerian.

Tiga pakar sukan permotoran yang terdiri daripada Ketua Eksekutif Persatuan Industri Sukan Permotoran (MIA) Chris Aylett, Pengarah Urusan Apex Circuit Design Ltd Clive Bowen dan pakar pembinaan litar Guy Austin berkongsi pengetahuan mereka dengan peserta forum.

Turut hadir Pengerusi SIC Datuk Mokhzani Tun Dr Mahathir yang bertindak sebagai Pengerusi forum.

Sumber:  BERNAMA

%d bloggers like this: