jump to navigation

Pengurusan IPT Diminta Pelbagai Aktiviti Berbentuk Kemahiran Insaniah 3 April 2010

Posted by admin in Hal Ehwal Murid.
trackback

PEKAN, 3 April (Bernama) — Pengurusan institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta diminta mempelbagaikan aktiviti kokurikulum dalam menanam elemen kemahiran insaniah di kalangan pelajar sekaligus meningkatkan kebolehpasaran mereka di sektor pekerjaan.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kemahiran insaniah termasuk aspek komunikasi, keperibadian dan berakhlak tinggi, inovasi dan kreatif penting dalam menghadapi cabaran alaf baru.

Beliau berkata, sektor perkhidmatan awam dan swasta memerlukan sumber manusia yang berwibawa dan berkualiti bagi menyahut cabaran gagasan 1Malaysia dan pelaksanaan Model Ekonomi Baru (MEB).

“Bagaimana mereka hendak mewujudkan hubungan baik dengan orang ramai atau melonjakkan pencapaian syarikat tempat mereka bekerja jika tidak memiliki kemahiran berkomunikasi yang baik, sukar memberi idea yang kreatif dan tiada daya kepimpinan yang tinggi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan cabaran Orienteering 1Malaysia Kementerian Pengajian Tinggi-Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini, pada hari Sabtu.

Turut hadir ialah Naib Canselor UiTM Prof Ir Dr Sahol Hamid Abu Bakar.

Mohamed Khalid berkata, kecemerlangan dalam akademik semata-mata tidak cukup untuk mereka membantu kerajaan meneruskan agenda pembangunan dan memacu ekonomi negara bagi mencapai status negara berpendapatan tinggi.

Beliau berkata, walaupun kementeriannya setakat ini berpuas hati dengan pelaksanaan program meningkatkan kemahiran dan kebolehpasaran pelajar, namun pihak pengurusan IPT perlu lebih fokus dan meningkatkan lagi usaha itu pada masa akan datang.

Sementara itu, seramai 1,096 pelajar dari 50 IPT awam dan swasta menyertai cabaran ‘Orienteering’ (sukan dengan peserta berjalan dari suatu tempat ke suatu tempat dengan menggunakan peta dan kompas) selama tiga hari bermula semalam itu.

Penyertaan peserta itu pada program itu juga mendapat pengiktirafan Malaysia Books of Record bagi cabaran orienteering selepas mengatasi jumlah penyertaan sebelum ini yang merekodkan 634 peserta.

Sumber:  BERNAMA

%d bloggers like this: