jump to navigation

Cari Formula Alternatif Atasi Masalah Disiplin Pelajar 29 March 2010

Posted by admin in Hal Ehwal Murid.
Tags: ,
trackback

KUALA LUMPUR, 29 Mac (Bernama) — Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) dan Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) pada hari Isnin berharap satu formula alternatif dicari untuk mengatasi masalah disiplin pelajar.

Kedua-dua pertubuhan ini turut bersetuju dan menyambut baik keputusan kerajaan untuk tidak menubuhkan sekolah khas pelajar bermasalah.

Presiden NUTP, Hashim Adnan berkata pihak sekolah seharusnya memainkan peranan penting dalam mengatasi masalah ini kerana mereka disediakan tenaga pakar yang cukup untuk memantau disiplin para pelajar.

“Setiap sekolah ada kaunselor dan guru disiplin sendiri. Mereka kena main peranan mendisiplinkan murid. Bina sekolah baru belum tentu dapat selesaikan masalah,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Hashim berkata penubuhan sekolah khas akan melibatkan penilaian rapi dalam pelbagai aspek terutamanya daripada segi peruntukan kewangan dan penempatan guru-guru.

“Dalam keadaan gawat sekarang ini, mana nak cari peruntukan bina sekolah baru? Guru-guru pun bukan semua sanggup mengajar kalau mereka tahu mereka bakal berdepan dengan pelajar bermasalah,” katanya.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan tidak bercadang menubuhkan sekolah khas bagi menempatkan pelajar bermasalah sebagai mengatasi kemelut disiplin membabitkan golongan itu.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata langkah terbaik adalah memastikan semua pihak memberi sokongan padu dalam mendidik dan menyedarkan pelajar bermasalah.

Hashim berkata selain memberi tumpuan di peringkat sekolah, ibu bapa juga perlu sama-sama memainkan peranan dalam memastikan disiplin anak-anak berada di tahap tertinggi.

Berbanding hanya enam hingga tujuh jam di sekolah, para pelajar secara amnya menghabiskan lebih banyak masa di rumah dan ibu bapa seharusnya lebih peka dengan keadaan anak-anak mereka, katanya.

Presiden PIBGN Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan mencadangkan agar kursus pemulihan dan kem jati diri diadakan sebagai alternatif dalam mencari penyelesaian kepada masalah ini.

“Ada baiknya mereka (pelajar bermasalah) dikumpulkan dan diberi latihan pemulihan di hujung minggu atau semasa cuti sekolah. Kemudian biarkan mereka kembali ke sekolah asal,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata latihan dan bimbingan harus diberikan sebanyak mungkin untuk memberi peluang kedua kepada para pelajar insaf dan membaik pulih jati diri mereka.

“Kalau ditubuhkan sekolah khas, takut nanti dah jadi sekolah budak jahat pula. Kita tak sepatutnya mengasingkan pelajar ini daripada saluran perdana. Kelak hanya akan beri masalah kepada sekolah lain pula,” katanya.

Dr Mohamad Ali berkata PIBGN sentiasa mengalu-alukan sebarang program yang akan didakan oleh Kementerian Pelajaran dan bersedia memberi bantuan terutamanya daripada aspek kepakaran dalam bidang-bidang berkaitan.

Sumber:  BERNAMA

%d bloggers like this: