jump to navigation

UTM, Cardiff jalin kerjasama bola sepak 28 March 2010

Posted by admin in Sukan.
trackback

JOHOR BAHRU – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mengorak langkah lebih berani di kalangan institusi pengajian tinggi (IPT) negara ini apabila menjalinkan kerjasama dengan Persatuan Bola Sepak Cardiff City selama setahun.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UTM, Prof. Dr. Mohd. Tajudin Ninggal berkata, kerjasama dengan kelab dari Wales itu melibatkan pembangunan mahasiswa khususnya dalam sukan bola sepak menerusi tajaan RM100,000.

Beliau berkata, pihaknya berasa amat bertuah kerana dapat menarik minat sebuah kelab profesional antarabangsa dalam usaha membantu meningkatkan bola sepak di UTM.

“Jalinan kerjasama dengan Persatuan Bola Sepak Cardiff City merupakan satu pengiktirafan besar kepada UTM untuk muncul IPT pertama di negara ini yang berjaya minat sebuah kelab bola sepak dari luar negara.

“Sudah pasti kerjasama itu akan membantu meningkatkan prestasi bola sepak UTM menerusi latihan bersama di kalangan jurulatih kelab itu untuk para pemain termasuk jurulatih kami,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyampaian cek oleh Persatuan Bola Sepak Cardiff City di sini, semalam.

Persatuan itu diwakili Pengurus Harta, Central Malaysian Propersties Sdn. Bhd. Mohd. Roslin Nik Mat.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengarah UTM, Tan Sri Abdul Halim Ali dan Naib Canselornya, Prof. Datuk Ir. Zaini Ujang.

Cardiff City kini menghuni tangga keenam Divisyen Satu England.

Mengulas lanjut, Mohd. Tajuddin berkata, menerusi kerjasama itu, pihaknya merancang untuk menghantar skuad UTM berlatih di Stadium Cardiff selama dua minggu pada Jun ini.

Beliau berkata, langkah itu bertujuan untuk memberi pendedahan kepada jurulatih dan pemain untuk menimba ilmu bukan sahaja mengenai aspek latihan malah melibatkan strategi dan pengetahuan dalam bola sepak.

“Untuk tempoh jangka masa panjang, UTM yakin dapat mencapai hasrat Kementerian Pengajian Tinggi untuk melahirkan atlet sukan yang berpendidikan, berkelayakan serta berpengetahuan demi mutu bola sepak di IPT dan negara ini.

“Ini kerana kerjasama itu turut melibatkan perkongsian kepakaran kemudahan untuk sukan-sukan lain apatah lagi Kompleks Sukan dan Stadium UTM yang dijangka siap pada Oktober ini,” katanya sambil memberitahu tajaan itu akan dinilai secara tahunan sebelum ditawar kontrak baru.

Tajudin menambah, tajaan itu diharap dapat memberi suntikan semangat kepada skuad bola sepak UTM yang kini mengungguli Zon Selatan, Liga Bola sepak IPT Piala Menteri Pengajian Tinggi 2010.

Sumber: Utusan Malaysia

%d bloggers like this: