jump to navigation

PDRM Akan Mengambil Pegawai Inspektor Berkelulusan Ijazah 26 March 2010

Posted by admin in kerjaya.
trackback

KUALA LUMPUR, 26 Mac (Bernama) — Penstrukturan semula pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bukan sahaja melibatkan penambahan anggota baru malah dicadangkan anggota berpangkat inspektor diambil daripada mereka yang mempunyai ijazah tidak lama lagi.

Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berkata jika cadangan itu diluluskan kerajaan, PDRM akan menghentikan pengambilan pegawai bagi jawatan Asisten Superintenden (ASP) dan Asisten Komisioner (ACP).

“Jika pegawai yang berpangkat Asisten Komisioner (ACP) ke atas harus memiliki ijazah, pegawai yang berpangkat inspektor ke atas juga tidak lama lagi perlu memiliki ijazah dan ini sejajar dengan teras Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) berkaitan modal insan.

“Kita perlu sentiasa melatih pegawai dan anggota yang sedia ada supaya apabila mereka pencen nanti, mereka akan pencen pada jawatan yang lebih tinggi daripada jawatan asal mereka,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata ini adalah salah satu cara pemodenan pasukan polis di samping meningkatkan profesionalisme PDRM dan memantapkan lagi pasukan supaya ia seiring dengan peredaran zaman sejajar dengan usia 203 tahun PDRM.

“Jika kita lihat di negara-negara luar sudah ada anggota berpangkat konstabel yang berkelulusan ijazah,” katanya.

Beliau berkata tidak mustahil dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang, PDRM juga akan mengikut jejak langkah itu bagi memantapkan dan lebih mematangkan pasukan.

Musa berkata dengan adanya anggota yang memiliki tahap pendidikan yang tinggi akan lebih memberi keyakinan kepada masyarakat malah profesion kepolisan juga tidak boleh dipandang rendah.

“PDRM telah banyak berubah. Dalam zaman sekarang yang penuh dengan teknologi canggih dan tren jenayah sekarang yang sudah berubah dengan jenayah sibernya, kita tidak boleh ketinggalan, kita perlu meningkatkan tahap profesionalisme anggota kita,” katanya.

Beliau berkata walaupun kadar jenayah di Malaysia masih rendah berbanding negara-negara lain di dunia tetapi jenayah kekerasan perlu ditangani segera kerana ia akan menjadi ‘barah’ dalam masyarakat jika tidak dibendung dan dengan adanya program Polis Kemasyarakatan sedikit sebanyak telah mengurangkan kadar jenayah itu.

Oleh yang demikian, PDRM telah merangka pelbagai strategi bukan sahaja dari segi melakukan penstrukturan semula pasukan, malah mempertingkatkan program polis kemasyarakatan termasuk memperbanyakkan balai polis komuniti dan bergerak di kawasan-kawasan taman perumahan dan di pedalaman.

“Sejak ia dilancarkan dua tahun yang lalu, maklumbalas yang kita terima daripada masyarakat amat mengalakkan dan mereka berasa yakin dengan polis kerana mereka lihat banyak anggota polis menjalankan tugas di kawasan-kawasan perumahan bersama-sama masyarakat setempat dan oleh sebab itu juga kadar jenayah dapat diturunkan,” katanya.

Beliau berkata PDRM juga akan mewujudkan e-sector di mana apabila anggota polis yang menjalankan rondaan menerima maklumat daripada masyarakat di kawasan rondaan tersebut, maka maklumat itu akan terus dimasukkan ke dalam data komputer.

Dengan ini pegawai yang bertugas di balai polis berhampiran kawasan atau sektor itu akan meneliti maklumat yang diterima untuk diambil tindakan dan ini akan meningkatkan lagi perkhidmatan penyampaian kepada masyarakat.

“Sasaran kita masa respond kurang dari 10 minit untuk sampai ke tempat kejadian, oleh itu kita telah memohon kepada kerajaan untuk memiliki balai polis bergerak di kawasan-kawasan taman perumahan,” katanya.

Beliau berkata balai polis bergerak ini juga boleh menjadi pusat kawalan jika kawasan tersebut ada berlaku jenayah dan balai itu juga mampu mengeluarkan arahan kepada kereta peronda polis.

Musa juga mempunyai perancangan untuk meletakkan masyarakat setempat di sesuatu kawasan menjadi sukarelawan polis bagi bersama-sama dengan polis menjaga kawasan tempat tinggal mereka.

Sementara itu Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Lee Lam Thye berkata program itu adalah satu usaha yang positif bagi mencegah jenayah yang melibatkan masyarakat dan PDRM dalam menjalankan tugas membanteras gejala itu.

“Saya berpendapat program seperti ini perlu diperluaskan lagi ke lebih banyak kawasan berbanding sekarang dan dipertingkatkan di kawasan-kawasan “panas”, katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Beliau berkata program itu ada kesannya terutama di kawasan-kawasan “panas” di mana kadar jenayah dilihat telah menurun.

Nurul Ridhuan Nor Ashaha, 25, kakitangan swasta berkata program ini merupakan satu pendekatan antara polis dengan masyarakat dan ia menunjukkan satu peluang kepada masyarakat untuk bergerak seiring dengan polis bagi membanteras kegiatan jenayah terutamanya jenayah jalanan.

“Ia merupakan satu pendekatan yang bagus dan satu program yang boleh dikatakan berjaya kerana dapat mengurangkan kadar jenayah,” katanya.

Orang awam, Lam Kam Chee, 29, pula berpendapat program ini perlu diteruskan bukan hanya untuk sementara kerana ia mampu mengurangkan kadar jenayah di negara ini.

“Jika dibandingkan dengan sebelum ini, program ini dilihat lebih baik daripada tidak melakukan sebarang tindakan untuk membanteras jenayah,” katanya.

Bagi Kumaran Rajamaney, 24, pula berpendapat program ini merupakan satu langkah yang bijak dalam usaha untuk mengurangkan kadar jenayah di negara ini.

“Dengan adanya program ini kadar jenayah berkurangan dan bagus jika program ini diteruskan serta dibuat penambahbaikkan demi keselamatan rakyat,” katanya.

Sumber:  BERNAMA

%d bloggers like this: