jump to navigation

Pelajar perlu kuasai kemahiran generik 24 March 2010

Posted by admin in Kokurikulum.
trackback

KUALA TERENGGANU 23 Mac – Universiti merupakan pusat transformasi insan supaya menjadi individu yang produktif dan mampu menyumbang dalam mengukir kejayaan negara. Sehubungan itu, pelajar seharusnya sedar bahawa usia muda haruslah dimanfaatkan sepenuhnya bagi melatih dan mencungkil potensi diri supaya lebih responsif terhadap tuntutan semasa.

Timbalan Naib Canselor (Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Dr. Yahaya Ibrahim berkata, pelajar seharusnya sudah bersedia mengambil bahagian dalam pentas antarabangsa, bukan sebagai penonton tetapi sebagai pelaku utama.

Katanya, apabila mereka melihat kepada perkembangan pasaran kerjaya masa kini, terdapat beberapa perkara yang perlu ditekankan oleh pelajar sebelum mendapat segulung ijazah.

” Antaranya apabila kita lihat dari sudut kehendak majikan terhadap keperluan penguasaan kemahiran generik graduan.

” Jadi pelajar seharusnya menyediakan diri untuk menguasai kesemua kemahiran generik tersebut sejajar dengan hasrat Kementerian Pengajian Tinggi,” katanya semasa berucap pada majlis perasmian Program Etiket Siswa 2010 di kampus UMT di sini.

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa ) UMT, Prof. Dr. Noor Azhar Mohamed Shazili, Yang di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar UMT, Mohd. Firdaus Md. Sayed dan pelajar universiti berkenaan.

Yahaya berkata, antara elemen yang harus dilakukan adalah penerapan Kemahiran Insaniah (KI) dalam pembelajaran dan aktiviti pembangunan pelajar termasuklah kokurikulum.

Katanya, penekanan terhadap penglibatan pelajar dalam aktiviti kokurikulum dan program-program yang dianjurkan oleh universiti merupakan satu kaedah yang berkesan dalam mengasah kemahiran generik di kalangan pelajar.

”Aktiviti kokurikulum dan program yang dirancang khas oleh pihak universiti menjadi pelengkap kepada kitaran pendidikan yang melibatkan domain intelektual yang merupakan wadah bagi pembinaan jasmani, emosi dan rohani,” katanya.

Di samping itu, katanya, penglibatan pelajar dalam aktiviti tersebut akan dapat menerapkan beberapa elemen penting seperti disiplin kendiri, kepemimpinan, etika, komunikasi, penampilan diri, keusahawanan, kreativiti, inovasi dan kecintaan terhadap alam semula jadi.

Katanya, ia juga secara tidak langsung dapat membentuk dan menyediakan pelajar menjadi graduan yang memenuhi tuntutan pasaran kerja masa kini.

Sumber: Utusan Malaysia

%d bloggers like this: