jump to navigation

Kementerian Pelajaran Diminta Perluaskan Aktiviti Tulisan Jawi 24 March 2010

Posted by admin in Akademik.
trackback

KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) — Kementerian Pelajaran diminta supaya memperluaskan lagi aktiviti penulisan jawi di sekolah-sekolah bagi meningkat dan membudayakan penggunaan tulisan itu, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata walaupun Kementerian Pelajaran sudah melaksanakan program pengajian Jawi, Al-Quran, bahasa Arab dan Fardu Ain yang dikenali sebagai j-QAF di sekolah-sekolah, usaha menjalankan aktiviti bagi membudayakan tulisan jawi di kalangan pelajar masih perlu ditingkatkan.

“Pengajian j-QAF adalah penentuan menerusi akademik, yang saya maksudkan adalah pergiatkan dari segi aktiviti atau usaha yang perlu diambil dalam membudayakan terutamanya pelajar, dalam menanam minat menggunakan tulisan itu.

“Contohnya pembekalan suratkhabar jawi (Utusan Mealyu) ke sekolah-sekolah, misalnya jika ada 10,000 sekolah yang beli akhbar (jawi) ini, maka sudah ada 10,000 naskah Utusan yang boleh dijual. Ini meringankan beban untuk mempromosi tulisan jawi,” katanya selepas melancarkan Wajah Baru Akhbar Jawi Utusan Melayu Mingguan di Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) di sini, Rabu.

Turut hadir ialah Ketua PNM Datuk Raslin Abu Bakar dan Ketua Pengarah Kumpulan Utusan Melayu, Datuk Abdul Aziz Ishak.

Rais juga berkata Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan akan meneruskan bantuan RM2.2 juta kepada syarikat Utusan untuk meneruskan penerbitan kolum tulisan jawi dalam akhbar Jawi Utusan Melayu Mingguan.

“Komitmen kami dari tahun lalu tak putus. Kami juga berharap agar Kementerian Pelajaran juga teruskan dana sumbangan mereka juga. Tahun lalu, menerusi Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KekWa) pun dah beri RM2.2 juta, dan Kementerian Pelajaran RM1.5 juta untuk aktiviti promosi,” katanya.

Utusan sejak 1938 semasa beroperasi di Singapura menerbitkan akhbar Utusan Melayu (Jawi) secara harian, menjadi suara orang Melayu pada waktu itu, namun selepas 67 tahun beroperasi akhbar itu terpaksa berhentikan penerbitannya pada 29 Jan 2006 kerana tiada sambutan dan kekurangan pembaca.

Bagaimanapun pada 1 Mei 2006 ia diterbitkan semula secara mingguan sebagai sisipan akhbar Utusan Malaysia setiap Isnin dengan nama Utusan Melayu Mingguan, dan pada 1 Mac lepas, Utusan Melayu Mingguan diterbitkan dengan wajah baru yang kandungannya antara lain meliputi berita semasa dalam dan luar negara, kolum-kolum menarik, pendidikan jawi, cerpen, hiburan dan sukan.

Sumber:  BERNAMA

%d bloggers like this: