jump to navigation

Graduan UiTM jadi rebutan majikan 24 March 2010

Posted by admin in Akademik.
trackback

KUALA KRAU 23 Mac – Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Jengka dekat sini akan terus memastikan setiap graduan yang dilahirkan daripada universiti itu menjadi rebutan majikan. Sehubungan itu, UiTM Jengka atau dikenali sebagai Kampus Khazanah Alam akan terus memberi penekanan kepada aspek kualiti dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P) di universiti tersebut.

Menurut Pengarah Kampus UiTM Pahang, Prof. Madya Datuk Dr. Hilmi Ab. Rahman, rekod membuktikan bahawa graduan UiTM sentiasa menjadi pilihan majikan dalam pelbagai sektor pekerjaan.

”Ini kerana, pihak majikan yakin dengan kualiti graduan yang dihasilkan dari universiti ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas perasmian Minggu Mesra Siswa UiTM Pahang sesi Januari-April 2010 yang dirasmikan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah, di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Kampus Hal Ehwal Akademik, Prof. Madya Khairruddin Ali, Timbalan Pengarah Kampus Hal Ehwal Pelajar, Muhammad Mokhtar Samat dan Timbalan Pengarah Kampus Penyelidikan dan Jaringan Industri, Dr. Azhan Hashim.

Menerusi kursus-kursus yang ditawarkan di UiTM Jengka, Hilmi menaruh keyakinan graduan UiTM mampu menjadi individu yang diperlukan masyarakat bagi menyalurkan perkhidmatan terbaik dalam sektor awam mahupun swasta apabila tamat pengajian.

Dalam pada itu, beliau menegaskan, pihaknya sentiasa menyokong sasaran untuk mencapai bilangan pelajar seramai 200,000 orang di semua cawangan UiTM di seluruh negara menjelang 2015.

”Kita telah bersedia menerima lebih ramai pelajar dalam pelbagai bidang bagi menyokong sasaran itu dalam tempoh lima tahun lagi,” ujarnya.

Setakat ini, kata Hilmi, pelajar UiTM di seluruh negara mencecah 140,000 orang yang membuktikan kesungguhan kerajaan memberi peluang kepada pelajar bumiputera melanjutkan pelajaran di peringkat tinggi.

Bagi menyokong hasrat itu, jelas beliau, UiTM Jengka telah meningkatkan pelbagai kemudahan dan membangunkan infrastruktur serta prasarana bagi menampung jumlah pelajar yang akan bertambah pada masa akan datang.

”Pembinaan bangunan perpustakaan, penambahan bilik kuliah dan kompleks penginapan pelajar serta kemudahan astaka dan pusat perkhidmatan pelajar membuktikan komitmen berterusan bagi menyediakan kemudahan yang kondusif.

”Segala kemudahan yang dibangunkan adalah bagi memenuhi keperluan pembelajaran kepada masyarakat Bumiputera bagi memastikan mereka dapat duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan kaum lain,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Hilmi memberitahu, lebih 2,000 calon ditawarkan ke UiTM Jengka bagi kemasukan Januari-April ini.

”Jumlah pelajar akan terus bertambah memandangkan UiTM merupakan satu-satunya universiti yang menawarkan kemasukan sebanyak dua kali dalam setahun iaitu kemasukan Januari-April dan Julai-November,” jelasnya.

Selain itu, tambah beliau, suasana pembelajaran di UiTM Jengka dianggap kondusif kerana kampus tersebut dikelilingi hutan tebal dan ladang sawit yang menghijau.

”Kedudukannya juga berdekatan dengan Bandar Tun Abdul Razak Jengka yang merupakan bandar bumiputera terulung di negara ini,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia

%d bloggers like this: