jump to navigation

Pelajar digesa terokai bidang baru 20 March 2010

Posted by admin in Akademik.
trackback

MUAR 19 Mac – Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa para pelajar supaya memilih dan menerokai bidang baru yang berpotensi untuk mencipta kekayaan baru negara serta mampu mengembangkan daya kreativiti dan inovasi mereka.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, antara bidang berkenaan adalah bioteknologi, nanoteknologi, teknologi hijau dan animasi digital.

“Saya berharap para pelajar dapat membuat pilihan yang tepat dan bijak dalam menentukan kursus atau bidang pengajian yang ingin diikuti.

“Jangan hanya memberi fokus kepada kursus-kursus yang biasa diambil atau kursus yang mudah untuk lulus dan senang mendapat pekerjaan sahaja,” katanya semasa melancar dan mengedarkan penerbitan Prospektus: Peluang Pendidikan, Latihan dan Kerjaya Edisi 2010/2011 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Alauddin Riayat Shah, Pagoh dekat sini hari ini.

Prospektus edisi kelima yang diterbitkan Persatuan Warga Cinta Negara Malaysia (Pencinta) itu memberi panduan kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) serta belia mengenai peluang pendidikan dan kerjaya di institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/IPTS) serta kolej yang terdapat di negara ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom; Penasihat Kehormat Pencinta, Tan Sri Zaleha Ismail dan Presiden Pencinta, Datuk Izuddin Ishak.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pilihan bidang pengajian yang dibuat akan menentukan bukan sahaja haluan kerjaya pelajar, tetapi juga masa depan negara kerana Malaysia sedang melalui satu proses transisi ekonomi yang penting.

“Kita perlu melakukan usaha secara bersama untuk melonjakkan pencapaian ekonomi negara daripada ekonomi berpendapatan sederhana kepada ekonomi berpendapatan tinggi yang akan dipacu oleh daya kreativiti dan inovasi modal insan yang dilahirkan oleh sistem pendidikan negara.

“Negara kita sesungguhnya memerlukan modal insan yang berilmu dan berkemahiran tinggi terutama dalam bidang-bidang teknologi baru,” katanya.

Menurut Muhyiddin, para pelajar juga boleh memilih untuk mengikuti kursus-kursus dalam bidang teknikal dan vokasional yang ditawarkan oleh IPTA dan IPTS kerana bidang tersebut berpotensi menawarkan peluang kerjaya yang baik seiring dengan pembangunan negara.

Beliau berkata, pada masa ini peluang mengikuti pengajian dalam pelbagai bidang amat luas kerana Malaysia mempunyai 20 universiti awam, 27 politeknik, 59 kolej komuniti dan 345 IPTS yang menawarkan kursus di pelbagai peringkat.

Jelasnya, peluang itu turut ditawarkan institusi di bawah Kementerian Belia dan Sukan seperti Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) serta Institut Latihan Jabatan Tenaga Manusia di bawah Kementerian Sumber Manusia dan Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Timbalan Perdana Menteri berkata, untuk membuat pilihan tepat, pelajar perlu bersikap proaktif mendapatkan maklumat yang mencukupi mengenai institusi pengajian, kursus yang ditawarkan dan peluang kerjaya.

Beliau berkata, prospektus yang diterbitkan Pencinta adalah sebahagian daripada sumber maklumat dan panduan yang boleh digunakan untuk membuat pilihan.

Pada majlis itu, Muhyiddin turut menyampaikan sumbangan wang RM200 seorang daripada Pencinta kepada 32 pelajar di kawasan Parlimen Pagoh yang memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM baru-baru ini.

Sumber: Utusan Malaysia

%d bloggers like this: