jump to navigation

Lapan Universiti Terima RM7.2 Juta Untuk Program PKS 20 March 2010

Posted by admin in Sukan.
trackback

JOHOR BAHARU, 20 Mac (Bernama) — Kementerian Pengajian Tinggi telah menyalurkan RM7.2 juta kepada lapan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi menjayakan program Pusat Kecemerlangan Sukan (PKS) yang mula dilaksanakan tahun ini.

Menterinya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata lapan universiti yang terpilih dalam fasa pertama untuk dibangunkan PKS masing-masing menerima RM900,000.

Universiti berkenaan adalah Universiti Malaya (bola jaring), Universiti Sains Malaysia (renang), Universiti Kebangsaan Malaysia (kriket), Universiti Putra Malaysia (ragbi).

Universiti Teknologi Malaysia (mendayung), Universiti Teknologi Mara (bola sepak), Universiti Utara Malaysia (golf) dan Universiti Malaysia Sabah bagi sukan taekwondo.

“PKS ini berperanan untuk memperkemaskan lagi sistem pengurusan sukan di IPT dari segi pengurusan atlet, infrastruktur dan program kecemerlangan sukan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) sebagai Pusat Sukan Tumpuan (PST) Pencak Silat di sini.

Menurutnya, IPT yang mempunyai fakulti pengajian sains sukan diberi tumpuan khusus dalam pembangunan PKS kerana mampu melaksanakan pelbagai kajian dan penyelidikan berkaitan sukan bagi memantapkan pembangunan sukan.

Program PKS yang merupakan sebahagian daripada Dasar Pembangunan Sukan IPT itu bertujuan merealisasikan hasrat kerajaan melahirkan 30 peratus atlet negara dari kalang pelajar IPT menjelang 2015.

Sumber:  BERNAMA

%d bloggers like this: