jump to navigation

162,500 permohonan ke IPTA diterima 14 March 2010

Posted by admin in Akademik.
Tags: , ,
trackback

KOTA BHARU 14 Mac – Sejumlah 162,500 permohonan kemasukan ke institusi-institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi sesi akademik 2010/2011 diterima dari seluruh negara setakat ini.

Penolong Pengarah Kanan Jabatan Pengajian Tinggi, Ismail Nor Hassan Basri berkata, pihaknya turut menerima 35,000 permohonan untuk mengikuti kursus Diploma Perguruan Lepasan Ijazah (DPLI).

Sehubungan itu, beliau menasihatkan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) agar tidak berlengah untuk mengemukakan permohonan.

”Kami bimbang kelewatan mengemukakan permohonan akan menyebabkan berlaku kesulitan jika dikesan terdapat kesalahan semasa mengisi borang.

“Jika dikesan awal, pihak kami masih dapat membantu membetulkan kesalahan tersebut sebelum tarikh tutup pada 30 Mac ini,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di program Karnival Pengajian Tinggi Negara (KPTN) bagi zon lapan di sini hari ini.

Bagaimanapun Ismail tidak menjelaskan jumlah tempat yang ditawarkan di IPTA seluruh negara.

Menyentuh mengenai karnival berkenaan, beliau berkata, program selama dua hari yang berakhir hari ini mendapat sambutan di luar jangkaan.

Katanya, karnival itu berjaya menarik hampir 30,000 pengunjung yang terdiri daripada pelajar sekolah, lepasan SPM dan STPM serta ibu bapa.

“Selepas Kota Bharu, Universiti Malaysia Pahang (UMP) akan menjadi destinasi seterusnya.

“Kami mengalu-alukan kehadiran para pelajar lepasan sekolah dan ibu bapa supaya mereka lebih memahami kursus-kursus yang ditawarkan oleh universiti tempatan,” katanya.

Sementara itu, seorang bapa, Ismail Mamat, 49, dari Pasir Puteh berterima kasih kepada pihak Kementerian Pengajian Tinggi kerana terus menganjurkan program itu yang sememangnya banyak membantu.

”Kita tidak perlu pergi jauh ke banyak tempat untuk mendapat penjelasan. Di sini semua maklumat mengenainya ada,” jelasnya.

Sumber: Utusan Malaysia

%d bloggers like this: