jump to navigation

255 dapat A+ 12 March 2010

Posted by admin in Akademik.
Tags: ,
trackback

PUTRAJAYA: Seramai 7,987 atau 1.99 peratus calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009 memperoleh gred cemerlang (A+, A dan A-) bagi semua mata pelajaran yang diambil, berbanding 6,277 atau 1.6 peratus pada tahun sebelumnya.

Daripada jumlah itu, 214 calon Kementerian Pelajaran serta 41 calon persendirian, swasta dan tajaan agensi, mendapat gred cemerlang tertinggi A+ mengikut penggredan baru yang mula diperkenalkan tahun lalu. Menerusi penggredan baru itu, pelajar diberikan gred berdasarkan kecemerlangan peperiksaan dengan kategori A+, A, A-, B+, B, C+, C, D, E dan G.
Dalam keputusan SPM yang diumumkan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, semalam dua calon mendapat keputusan A+ bagi semua 15 subjek, satu calon (14 subjek), tiga calon (13 subjek), 19 calon (12 subjek), 59 calon (11 subjek), 79 calon (10 subjek) dan 51 calon (sembilan subjek).

Sambil menyifatkan pencapaian keseluruhan tahun ini membanggakan, Alimuddin berkata, 364,046 calon mendapat sijil SPM kali ini, berbanding 347,443 pada 2008.

Beliau berkata, walaupun peratusan bagi 2009 dan 2008 adalah sama, iaitu 90.8 peratus, ada pertambahan calon seramai 16,603 yang berjaya mendapat sijil SPM kali ini.
Katanya, Gred Purata Nasional (GPN) SPM menunjukkan pencapaian lebih baik, iaitu 5.34 berbanding 5.51 tahun sebelumnya.

Beliau berkata, 68,131 atau 17 peratus calon sekolah Kementerian Pelajaran mendapat sekurang-kurangnya gred C bagi semua mata pelajaran yang diduduki, berbanding 60,902 atau 15.9 peratus pada 2008.

Bagaimanapun, katanya, bilangan calon yang gagal atau memperoleh gred G turut meningkat, iaitu 4,626 atau 1.15 peratus berbanding 2,589 atau 0.67 peratus pada tahun sebelumnya.

Alimuddin turut mengumumkan Gladys Tan Yee Kim dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Green Road, Kuching, Sarawak, sebagai pelajar terbaik SPM 2009 dan Sekolah Menengah Sains Seremban, Negeri Sembilan sebagai sekolah terbaik.

Sembilan pelajar terbaik lain ialah Grace Kiew Sze-Ern (SMK (P) Sri Aman, Petaling Jaya, Selangor); Khadijah Ahmad Jais (SM Agama Persekutuan Labu, Negeri Sembilan); Akmal Hidayat Sabri (SMK Derma, Kangar, Perlis); Syamilah Mahali (Kolej Tunku Kurshiah Seremban, Negeri Sembilan); Amelia Lee Wei Ling (SMK Taman Melawati, Selangor); Nur Syuhadah Muhamad (SM Sains Tengku Muhammad Faris Petra, Kota Bharu, Kelantan); Lai Yin Kwin (SMK Tinggi Melaka, Melaka); Corinne Gunn Huey Min (SMK Taman Melawati, Selangor) dan Hu May Khei (SMK Convent, Taiping, Perak).

Sembilan lagi sekolah terbaik pula ialah Kolej Islam Sultan Alam Shah, Klang, Selangor; Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Gombak, Kuala Lumpur; Sekolah Tun Fatimah, Johor; Sekolah Menengah Sains Alam Shah, Kuala Lumpur; SBPI Rawang, Selangor; Sekolah Menengah Sains Muar, Johor; SBPI Temerloh, Pahang; SMK Infant Jesus Convent, Johor Bahru, Johor dan Kolej Tunku Kurshiah Seremban, Negeri Sembilan.

Tahun lalu, 465,853 pelajar menduduki SPM membabitkan 406,420 atau 87.2 peratus calon Kementerian Pelajaran; calon persendirian perseorangan (32,561/tujuh peratus), calon Sekolah Menengah Agama Rakyat dan sekolah swasta (11,036/2.4 peratus); sekolah menengah agama negeri (8,765/1.9 peratus), manakala Maktab Rendah Sains Mara dan sekolah Kementerian Pertahanan (7,071/1.5 peratus).

Alimuddin juga berkata, 258 daripada 538 calon istimewa atau 51.9 peratus berjaya mendapat sijil SPM berbanding 208 atau 47.8 peratus tahun lalu.

Beliau berkata, seorang calon rabun penglihatan berjaya mendapat keputusan cemerlang 4 A+, 3 A, 4A- daripada 11 mata pelajaran yang diambil, manakala seorang lagi mendapat 4A+, 3A, 3A- daripada 10 mata pelajaran.

Mengenai pencapaian sekolah, beliau berkata, 66 sekolah dikategorikan cemerlang, 278 baik, 1,654 pada tahap memuaskan dan 143 berpotensi.

Beliau berkata, calon yang mendapat gred cemerlang dalam mata pelajaran Bahasa Melayu turut menunjukkan peningkatan daripada 25.4 peratus pada 2008 kepada 31.3 peratus tahun lalu, manakala Bahasa Inggeris meningkat kepada 75.6 peratus berbanding 73.9 peratus pada tahun sebelumnya.

Seramai 97,341 atau 24.3 peratus calon memperoleh sijil GCE O-Level untuk Bahasa Inggeris 1119 berbanding 87,383 atau 22.9 peratus pada tahun sebelumnya.
Daripada jumlah itu, 15,289 atau 3.8 peratus calon berjaya memperoleh gred 1A atau 2A berbanding 12,645 atau 3.3 peratus sebelum ini.

Mengenai Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), Alimuddin berkata, 3,138 calon berjaya memperoleh sijil itu berbanding 3,098 pada tahun sebelumnya.

Sumber: Berita Harian oleh Sazarina Shahrim

%d bloggers like this: