jump to navigation

Seramai 7,987 Calon SPM 2009 Cemerlang 11 March 2010

Posted by admin in Akademik.
Tags: ,
trackback

PUTRAJAYA, 11 Mac (Bernama) — Seramai 7,987 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2009 memperoleh gred cemerlang (A+, A, dan/atau A-) bagi semua mata pelajaran yang diduduki, berbanding 6,277 pada 2008.

Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata daripada jumlah itu, seramai 214 calon berjaya memperoleh gred Cemerlang Tertinggi (A+) bagi penggredan baru yang mula diperkenalkan tahun lalu.

Beliau berkata gred Cemerlang Tertinggi diperkenalkan sebagai gred yang lebih tinggi daripada gred 1A bagi memperincikan lagi kecemerlangan seseorang calon.

“Saya gembira memaklumkan bahawa pada keseluruhannya pencapaian calon pada kali ini amat membanggakan, melebihi pencapaian tahun sebelumnya.

“Pencapaian calon meningkat dari segi peratusan bilangan memperoleh sijil, cemerlang (A+, A dan/atau A-) dan lulus semua mata pelajaran yang diduduki,” katanya ketika mengumumkan analisis keputusan SPM dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2009 di Kementerian Pelajaran di sini pada Khamis.

Katanya seramai 465,853 calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan ini pada tahun lalu.

Alimuddin berkata daripada 59,433 calon persendirian, sekolah swasta dan sekolah-sekolah tajaan agensi selain Kementerian Pelajaran, seramai 41 orang memperoleh gred Cemerlang Tertinggi (A+).

Beliau turut mengumumkan Gladys Tan Yee Kim dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Green Road, Kuching, Sarawak sebagai pelajar terbaik bagi SPM 2009 dan Sekolah Menengah Sains Seremban, Negeri Sembilan sebagai sekolah terbaik.

Katanya bagi 10 sekolah pelajar terbaik, sembilan pelajar yang lain ialah Grace Kiew Sze-Ern (SMK (P) Sri Aman, Petaling Jaya, Selangor), Khadijah Ahmad Jais (SM Agama Persekutuan Labu, Negeri Sembilan), Akmal Hidayat Sabri (SMK Derma, Kangar, Perlis), Syamilah Mahali (Kolej Tunku Kurshiah Seremban, Negeri Sembilan); Lee Wei Ling (SMK Taman Melawati, Selangor), Nur Syuhadah Muhamad (SM Sains Tengku Muhammad Faris Petra, Kota Bharu, Kelantan), Lai Yin Kwin (SMK Tinggi Melaka, Melaka), Corinne Gunn Huey Min (SMK Taman Melawati, Selangor) dan Hu May Khei (SMK Convent, Taiping, Perak).

Katanya sembilan lagi sekolah terbaik pula ialah Kolej Islam Sultan Alam Shah, Klang, Selangor; Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Gombak, Jalan Sungai Pusu, Gombak, Kuala Lumpur; Sekolah Tun Fatimah, Johor Bahru, Johor; Sekolah Menengah Sains Alam Shah, Kuala Lumpur; SBPI Rawang, Selangor; Sekolah Menengah Sains Muar, Johor; SBPI Temerloh, Pahang; SMK Infant Jesus Convent, Johor Bahru, Johor dan Kolej Tunku Kurshiah Seremban, Negeri Sembilan.

Alimuddin berkata daripada 406,420 calon sekolah Kementerian Pelajaran yang menduduki peperiksaan itu tahun lalu, seramai 364,046 (90.8 peratus) berjaya memperoleh sijil SPM berbanding 347,443 (90.8) pada 2008.

“Walaupun peratusannya sama, tetapi terdapat pertambahan calon seramai 16,603. Pencapaian ini adalah stabil sepertimana pencapaian tahun sebelumnya,” katanya.

Beliau berkata seramai 199,155 (49.6 peratus) calon lulus semua mata pelajaran yang diambil berbanding 181,419 (47.4) pada tahun sebelumnya.

Katanya daripada jumlah itu, seramai 68,131 (17 peratus) calon berjaya mendapat sekurang-kurangnya gred C bagi semua mata pelajaran dalam SPM tahun lalu berbanding 60,902 (15.9) pada 2008.

“Pencapaian ini menunjukkan peningkatan yang sangat baik. Bagaimanapun, bilangan calon yang gagal atau memperoleh gred G agak meningkat iaitu seramai 4,626 (1.15 peratus) pada tahun 2009 berbanding 2,589 (0.67) pada 2008,” katanya.

Alimuddin berkata seramai 538 calon berkeperluan khas pelbagai kecacatan telah menduduki peperiksaan SPM 2009 berbanding 481 calon pada 2008, dan daripada jumlah itu, 251 (51.9 peratus) calon berjaya mendapat sijil SPM berbanding 208 (47.8) pada 2008.

Katanya dua calon rabun penglihatan berjaya mendapat empat A+, tiga A dan empat A- daripada 11 mata pelajaran yang diambil manakala seorang lagi mendapat empat A+, tiga A dan tiga A- daripada 10 mata pelajaran yang diduduki.

“Terdapat dua lagi calon yang mengalami pelbagai kecacatan berjaya memperoleh pencapaian cemerlang apabila kedua-duanya mendapat lapan A+, dua A daripada 10 mata pelajaran yang diambil,” katanya.

Katanya pencapaian calon bandar dan luar bandar menunjukkan peningkatan berbanding pada tahun sebelumnya, iaitu seramai 5,942 calon bandar dan 1,243 (luar bandar) memperoleh cemerlang bagi semua mata pelajaran berbanding 4,750 (bandar) dan 989 (luar bandar) pada 2008.

Beliau berkata jurang perbezaan antara calon bandar dan luar bandar telah dapat dirapatkan dari segi prestasi beberapa mata pelajaran teras iaitu Bahasa Inggeris, Sains dan Pendidikan Moral.

Alimuddin berkata bagaimanapun usaha untuk merapatkan jurang prestasi antara bandar dan luar bandar perlu dipergiatkan lagi terutamanya bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Sejarah, Matematik dan Pendidikan Islam.

Katanya berdasarkan Gred Purata Sekolah, sebanyak 66 buah sekolah berada dalam kategori Cemerlang, 278 (Baik), 1,654 (Memuaskan) dan 143 (Berpotensi), menunjukkan usaha kementerian untuk meningkatkan prestasi sekolah berjaya dilaksanakan.

Beliau berkata jumlah pelajar yang lulus mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris pada peperiksaan SPM tahun lalu mencatatkan kenaikan berbanding pada tahun sebelumnya.

Katanya seramai 364,046 pelajar lulus Bahasa Melayu pada peperiksaan tahun lalu berbanding 347,443 pada 2008 dan 302,501 lulus mata pelajaran Bahasa Inggeris berbanding 282,471 pada tahun sebelumnya.

Beliau berkata kerajaan sedang berusaha ke arah memartabatkan Bahasa Melayu dan memperkasakan Bahasa Inggeris agar prestasi kedua-dua mata pelajaran itu dapat dipertingkatkan.

Sumber: Bernama

%d bloggers like this: