jump to navigation

Buku Panduan Kemahiran Belajar Buzan dilancar 8 March 2010

Posted by admin in Akademik.
Tags: , , , ,
trackback

Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. (UP&D) melancarkan buku Panduan Kemahiran Belajar Buzan di Auditorium Datuk Razali Ismail, Institut Aminuddin Baki Genting Highlands pada 3 Mac 2010.

Pengarah Eksekutif UP&D, Dr. Ahmad Hairi Abu Bakar berkata, buku yang ditulis oleh Tony Buzan, seorang pencipta peta minda dan autoriti dunia terkemuka tentang otak dan pembelajaran itu merupakan hasil terjemahan tulisan asalnya dalam bahasa Inggeris.

Menurutnya, UP&D hanya melakukan proses mencetak, mengedit dan menerbitkan buku tersebut manakala proses penterjemahan dilakukan oleh Buzan Malaysia iaitu sebuah organisasi dalam bidang kecerdasan minda yang juga ahli rangkaian global dunia Buzan.

“Buku 188 muka surat itu merupakan panduan dan cara mudah mencapai kejayaan dalam pengajian dengan dilengkapi teknik peta minda, bacaan laju dan penguasaan daya ingatan.

“Buku yang baru dilancarkan ini akan berada di pasaran dalam minggu ini. Mereka yang berminat boleh mendapatkan buku ini di semua rangkaian kedai buku di seluruh negara,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran buku tersebut.

Hadir sama Pengarah Institut Aminuddin Baki, Datuk Abdul Ghafar Mahmud dan Tony Buzan.

Mengulas lanjut, Dr. Ahmad Hairi berkata, selain buku itu terdapat tiga lagi buku Tony Buzan yang akan diterbitkan oleh UP&D dalam bahasa Melayu iaitu Peta Minda Untuk Bisnes, Buku Peta Minda dan Buku Memori.

Sementara itu, Tony Buzan berkata, dalam buku panduan itu beliau menggabungkan teknik-teknik peta minda, daya ingatan dan bacaan laju dengan program unik iaitu teknik belajar organik Buzan (Bost).

Menurutnya, gabungan itu akan membolehkan pelajar di semua peringkat menerima dan mengamalkan corak pembelajaran baru yang positif secara keseluruhannya.

“Dengan mempraktikkan teknik-teknik itu pelajar akan membina keyakinan diri dan kemahiran yang diperlukan untuk memenuhi potensi pembelajaran walau dalam apa jua subjek ataupun tahap akademik mereka,” katanya.

Beliau berkata, otak ialah pemproses berkuasa super dan luar biasa yang mampu menghasilkan pemikiran saling berkait serta tanpa batasan.

“Jika tahu bagaimana untuk memanfaatkannya dengan sepenuhnya, mengulangkaji pelajaran bukan lagi satu aktiviti yang penuh dengan ketegangan dan stres malah akan menjadi cepat, mudah dan mendatangkan hasil,” jelasnya.

Sumber: Utusan Malaysia

%d bloggers like this: